Law kekal Yang Dipertua DUN P.Pinang, 40 ADUN angkat sumpah

Bernama
Ogos 2, 2018 11:37 MYT
Datuk Law Choo Kiang menunjukkan watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang berkuatkuasa 10 April lalu. --fotoBERNAMA / Fail
Datuk Law Choo Kiang hari ini dilantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi penggal kedua berturut-turut.
Pelantikan beliau dicadangkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, di sini.
ADUN Sungai Bakap Dr Amar Pritpal Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN Pulau Pinang manakala ADUN Sungai Dua Muhammad Yusoff Mohd Noor daripada Barisan Nasional dilantik sebagai ketua pembangkang.
Law kemudian mengangkat sumpah di hadapan Setiausaha DUN M. Maheswari dan diikuti kesemua 40 ADUN yang mengangkat sumpah dan menandatangani watikah sumpah setia di hadapan Law.
Majlis angkat sumpah ADUN itu didahului Ketua Menteri, diikuti Timbalan Ketua Menteri I dan Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy serta barisan exco dan ADUN lain.
Untuk pertama kali dalam sidang DUN Pulau Pinang ini, dua menteri Kabinet turut mengangkat sumpah iaitu Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang merupakan ADUN Air Putih dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak).
Penggal pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kali ke-14 menyaksikan 37 ADUN daripada Pakatan Harapan (19 DAP, PKR 14, dan masing-masing dua dari Amanah dan Bersatu); dua ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang PAS.
Pakatan Harapan membariskan 24 muka baharu iaitu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam); Ahmad Zakiyuddin (Pinang Tunggal); Mustafa Kamal Ahmad (Telok Air Tawar), M. Satees (Bagan Dalam); Muhammad Faiz Fadzil (Permatang Pasir); Heng Lee Lee (Berapit); Gooi Hsiao-Leung (Bukit Tengah); Goh Choon Aik (Bukit Tambun); H'ng Mooi Lye (Jawi); Dr Amar Pritpal Abdullah (Sungai Bakap); dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh);
Zairil Khir Johari (Tanjong Bunga); Jason Ong Khan Lee (Kebun Bunga); Lee Chun Kit (Pulau Tikus); Daniel Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota), Ong Ah Teong (Batu Lanchang); Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam), A. Kumaresan (Batu Uban); Saifuddin (Pantai Jerejak); Datuk Abdul Halim Hussain (Batu Maung); Azrul Mahathir Aziz (Bayan Lepas); Mohd Tuah Ismail (Pulau Betong); dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).
Selain itu, turut merupakan muka baharu ialah ADUN BN Nor Hafizah Othman (Permatang Berangan); dan ADUN PAS Yusni Mat Piah (Penaga).
Sidang DUN disambung esok dan majlis perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dijadual esok.
-- BERNAMA
#ADUN #angkat sumpah #Chow Kon Yeow #DUN #Law Choo Kiang #pulau pinang #Speaker #Yang Dipertua
;