Laut Miri dikenal pasti untuk kajian OTEC - Abang Johari
Bernama
Oktober 29, 2024 05:00 MYT
Oktober 29, 2024 05:00 MYT
KUCHING: Perairan berhampiran bandar raya Miri, bahagian utara Sarawak dikenal pasti untuk pelaksanaan kajian Penukaran Tenaga Termal Laut (OTEC) dalam usaha mempelbagaikan sumber tenaga baharunya.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan laut berdekatan Miri dipilih kerana tanah lautnya yang latar serta mempunyai kedalaman yang sesuai.
"Teknologi ini relevan untuk kawasan tropika yang memiliki suhu permukaan laut yang tinggi dan air laut dalam yang dingin, serta kedalaman laut yang tepat.
"Kita masih buat kajian, kajian ini mungkin akan mengambil masa satu setengah tahun...kita sudah ada data yang memungkinkan kita mengeluarkan tenaga daripada laut, kita nak buat kajian di luar pesisir Miri," katanya selepas merasmikan Persidangan Pelan Induk Kelestarian Sarawak, di sini, pada Selasa.
Abang Johari berkata, sekiranya kajian berkenaan berhasil, teknologi ini akan membolehkan Sarawak menghasilkan tenaga berlebihan untuk dieksport ke negara ASEAN.
"Tenaga hijau amat diperlukan di dunia hari ini, sebab itu kita juga memerlukan orang yang boleh membuat pelaburan, seperti dana kewangan selain penyelidikan," katanya.
Beliau berkata, selain OTEC, Sarawak juga komited untuk mengkaji cara menghasilkan tenaga kinetik daripada ombak laut sebagai sumber tenaga hijau tambahan.
Abang Johari sebelum ini dilaporkan berkata usaha tersebut adalah untuk mencari sumber tenaga boleh diperbaharui, selain gas, hidroelektrik dan solar. - BERNAMA