Laut China Selatan: Menteri Luar ASEAN ulangi ketegasan kekal keamanan

Bernama
Januari 28, 2015 19:27 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pemukiman itu berkongsi kebimbangan yang dibangkitkan sesetengah Menteri-menteri Luar ASEAN berhubung tindakan menebus guna tanah di Laut China Selatan. - Foto Bernama
Menteri-menteri Luar ASEAN yang menamatkan pemukiman mereka di sini hari ini sekali lagi menegaskan tentang kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan yang menyaksikan China dan beberapa negara ASEAN terlibat dalam pertikaian wilayah.
Dalam hubungan ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pemukiman itu berkongsi kebimbangan yang dibangkitkan sesetengah Menteri-menteri Luar ASEAN berhubung tindakan menebus guna tanah di Laut China Selatan.
Bagaimanapun, Anifah yang mempengerusikan pemukiman itu tidak menamakan menteri-menteri yang menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu.
"Para menteri mengarahkan pegawai-pegawai kanan meningkatkan usaha ke arah mencapai pelaksanaan Deklarasi Tatalaku (DOC) Pihak-pihak di Laut China Selatan secara menyeluruh dan berkesan," katanya.
Anifah berkata mereka juga mengarahkan para pegawai untuk berusaha bersungguh-sungguh supaya Kod Tatalaku (COC) dimuktamadkan lebih cepat di Laut China Selatan.
Negara-negara anggota ASEAN dan China menandatangani DOC pada 2002, satu dokumen asas bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.
Dalam deklarasi itu, antara lain, pihak-pihak berkenaan sekali lagi menegaskan bahawa dengan menerima pakai COC di Laut China Selatan ia akan terus menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau ini dan bersetuju untuk bekerja, atas dasar kesepakatan, ke arah pencapaian matlamat ini.
Kuala Lumpur telah menekankan keperluan untuk segera berusaha supaya COC dimuktamadkan lebih cepat di Laut China Selatan.
Menjawab satu soalan, Anifah menegaskan bahawa isu Laut China Selatan adalah sangat relevan dan penting bukan sahaja kepada negara-negara anggota ASEAN tetapi juga kepada dunia keseluruhannya kerana sebagai laluan laut yang penting, adalah penting untuk memastikan kebebasan navigasi dan laluan yang selamat.
Lebih daripada 100,000 kapal kargo belayar di Laut China Selatan setiap tahun.
"Oleh itu, saya berpendapat, kita mempunyai hubungan yang sangat baik dengan China dan kita akan terus membincangkan pelaksanaan DOC dan juga perundingan tentang COC. Kita sentiasa menegaskan bahawa sebarang pertikaian wilayah diselesaikan melalui undang-undang antarabangsa dan UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut) 1992.
Walaupun DOC ditandatangani pada tahun 2002, kemajuan setakat ini sangat sedikit yang dibuat dalam rundingan antara Asean dan China mengenai COC, kata Anifah.
Ketika ditanya bahawa China masih belum menetapkan tarikh perbincangan untuk pusingan seterusnya dan sama ada Asean boleh bersendirian dalam isu ini tanpa China, Anifah berkata China "sangat positif" mengenai perkara itu.
"Ia adalah kedua-dua pihak. Kita perlu mempunyai perkara ini antara Asean dan China. Asean semata-mata tidak berfungsi. Ia tidak akan berfungsi sebegitu. Namun China sangat positif mengenainya," katanya.
Beliau berkata para menteri luar telah meminta Thailand sebagai negara penyelaras hubungan Asean-China, untuk meningkatkan kekerapan mesyuarat.
"Oleh itu, kita boleh muktamadkan dan selesaikan lebih awal dan meneruskan kepada isu-isu penting lain terutamanya dalam perdagangan dan hubungan dua hala antara Asean dan China, "katanya.
Beliau menegaskan bahawa China merupakan rakan dagang yang penting di rantau ini dan semua negara-negara anggota Asean sangat menghargai kerjasama rapat yang wujud di antara Asean dan China dan juga di kalangan negara-negara anggota individu.
Anifah juga ditanya sama ada China benar-benar ikhlas dalam isu COC dan sama ada Asean bersatu sebagai satu suara dalam isu Laut China Selatan.
"Kami mempunyai hubungan yang sangat baik. Sudah tentu kita bercakap mengenai keutamaan Asean. Asean bercakap sebagai satu suara. Ini adalah apa yang sentiasa dikekalkan. Semasa tempoh kepengerusian ini, kami berhasrat untuk menyelesaikan masalah melalui kesederhanaan, melalui dialog," katanya.
ASEAN (Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara) dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Di pihaknya, China telah menyatakan bahawa ia sentiasa bersedia untuk menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan rundingan terus.
#Anifah Aman #ASEAN #Kota Kinabalu #Menteri Luar
;