Laut China Selatan: Malaysia-Thailand sepakat isu ditangani secara aman, konstruktif

Bernama
Disember 16, 2024 16:35 MYT
Anwar Ibrahim (kanan) ketika sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra (kiri) di Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand mengesahkan pendirian bersama mereka dalam isu berkaitan Laut China Selatan, dan menggesa semua pihak menghormati Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ringkasan AI
  • Malaysia dan Thailand mengesahkan pendirian bersama dalam isu Laut China Selatan dan menggesa semua pihak menghormati UNCLOS 1982.
  • Kedua-dua negara menekankan kepentingan pelaksanaan penuh Deklarasi Kod Tatalaku (DOC) dan rumusan awal Kod Tatakelakuan (COC).
  • Malaysia dan Thailand komited menangani isu Myanmar secara aman dan menyokong Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025.

Beliau berkata pemimpin kedua-dua negara menekankan kepentingan pelaksanaan penuh dan berkesan Deklarasi Kod Tatalaku (DOC) di Laut China Selatan secara keseluruhannya, serta rumusan awal yang berkesan dan substantif Kod Tatakelaku (COC).
Perdana Menteri berkata kedua-dua negara mahu supaya isu di Laut China Selatan ditangani secara aman dan konstruktif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk UNCLOS 1982.
"Apa yang juga penting ialah pendirian kami berhubung Myanmar. Walaupun kami komited untuk melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC), kami mengambil langkah melalui dialog secara tidak rasmi di pelbagai berbeza untuk memastikan Myanmar mengambil bahagian, dan membawa semula Myanmar merapatkan barisan dalam ASEAN," katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand Paetongtarn Shinawatra, di sini hari ini.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Paetongtarn atas sokongan yang tidak berbelah bagi beliau untuk Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025.
Sementara itu Kementerian Luar dalam kenyataan bersama dengan Kementerian Luar Thailand berkata, Thailand turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Malaysia dalam menangani situasi di Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.
Wisma Putra berkata Thailand menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi untuk Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025 dan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia, khususnya dalam agenda kemampanan.
Kenyataan itu berkata kedua-dua pemimpin mengesahkan sokongan mereka terhadap kerjasama dan inisiatif tenaga sedia ada yang menjadi teras kepada visi bersama mengenai masa depan tenaga yang lebih bersepadu, mampan dan terjamin untuk rantau ini, termasuk di bawah Inisiatif Grid Kuasa ASEAN.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Paetongtarn Shinawatra #Laut China Selatan #UNCLOS 1982
;