JOHOR BAHRU: Istiadat Keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara disambut rakyat jelata dengan penuh rasa teruja dan gembira di Jalan Skudai di hadapan Kampung Pasir, di sini, pada pagi Rabu.

Laungan 'Daulat Tuanku' bergema dan rakyat melambai tangan menunggu ketibaaan konvoi keberangkatan Sultan Ibrahim ke Hangar Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Tinjauan Sinar Harian, mendapati rakyat Johor pelbagai bangsa dan peringkat usia sudah berada di laluan berhampiran Kampung Pasir, di sini seawal jam 6.30 pagi.

Konvoi Diraja Sultan Ibrahim berlepas dari Istana Bukit Serene, di sini pada pukul 7.45 pagi dan tiba di kawasan Kampung Pasir sekitar jam 8.05 pagi.

Baginda dijangka akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira pukul 9 pagi dan akan mendarat di Pangkalan Udara, Subang, Selangor sebelum bergerak ke Istana Negara.

Sultan Ibrahim dijangka tiba di Pangkalan TUDM Subang pada jam 9.45 pagi.

Baginda dijangka menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum ke Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-263 pada 27 Oktober tahun lalu.

Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa. - Sinar Harian