Lato lato mendatang kemudaratan, kawalan perlu dilakukan

Adie Sufian Zulkefli
Januari 31, 2023 15:56 MYT
Permainan lato-lato perlu dikawal kerana dikhuatiri mendatangkan mudarat termasuk berlaku kecederaan.
ALOR SETAR: Permainan lato-lato perlu dikawal kerana dikhuatiri mendatangkan mudarat termasuk berlaku kecederaan.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, permainan ini semakin popular dalam kalangan pelajar terutama murid sekolah rendah.
Bagaimanapun, tegas beliau, ibu bapa dan pihak sekolah perlu mengawal anak-anak dan pelajar termasuk melarang membawanya ke sekolah.
“Memang permainan lato lato ini baru di negara ini (dan) saya percaya ia sudah menular ke semua sekolah. Permainan ini mengeluarkan bunyi bising dan bingit, itu juga wajar dilarang di pekarangan sekolah.
“Ada lato lato yang mempunyai ladong sangat berat jadi jika terkena muka bahaya. Kita minta ibu bapa dan pihak sekolah pantau perkara ini,” katanya ketika ditemui pada program penutup ‘Bazar Buku Kedah’ di sini, hari ini.
Zainol Abidin yang juga Focal Person Kebangsaan Jabatan Pendidikan Kedah, berkata semua pihak perlu memainkan peranan untuk fokus kepada kecemerlangan akademik pelajar setelah penularan COVID-19 yang dilihat menjejaskan prestasi mereka.
“Banyak isu sekarang… ada pelajar yang tak boleh baca lagi di sekolah dan dengan ketiadaan peperiksaan awam seperti UPSR dan PT3, pelajar semakin lalai dan tidak mahu belajar lagi. Jadi kita tak mahu ada gangguan perkara lain pula,” ujarnya.
Lato lato merupakan permainan popular pada 60-an dan 70-an di Amerika Syarikat kini kembali menjadi kegemaran penduduk Indonesia sebelum tular ke negara ini.
#lato lato #lato lato bahaya #permainan lato lato #PIBKS Kedah
;