Latihan keselamatan khas di kuil, tokong, gua tumpuan - Bomba Perak
Bernama
Januari 26, 2022 17:08 MYT
Januari 26, 2022 17:08 MYT
IPOH: Latihan keselamatan khas akan dilaksanakan di beberapa tokong, kuil dan gua di negeri ini yang menjadi tumpuan pelancong sebagai usaha meningkatkan kesedaran berkaitan aspek keselamatan, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Azmi Osman.
Beliau berkata latihan akan membabitkan ahli komuniti premis termasuk pengawal keselamatan sebagai usaha meningkatkan kesedaran berkaitan aspek keselamatan.
"Pengawal keselamatan mungkin boleh bertindak dahulu jika berlaku sesuatu. Latihan ini disasarkan kepada ahli komuniti dan penjaga gua pada tahun ini sebab kita mahu mereka (pengawal keselamatan) diberikan latihan, selain memastikan keselamatan pengunjung," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Kempen Keselamatan Kebakaran negeri sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di sebuah pasar raya di Falim di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan beberapa kuil di daerah Kinta telah diberikan notis pengusiran awal bulan ini berikutan faktor keselamatan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad turut dilaporkan sebagai berkata sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menentukan status semua tokong yang terletak di tanah milik kerajaan, sama ada melalui kaedah tempahan, pengeluaran Lesen Menduduki Sementara atau pajakan tanah rizab.
Sementara itu, Azmi berkata pemeriksaan pihaknya di beberapa gua mendapati kebanyakan gua telah dilengkapi dengan pelan kontingensi keselamatan termasuk penyediaan pemadam api dan pemasangan sistem pendawaian yang baik.
-- BERNAMA