Latihan di IKBN usaha pulihkan kumpulan basikal lajak - Saddiq

Harits Asyraf Hasnan
November 7, 2019 15:01 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam memastikan masa hadapan kanak-kanak dan remaja yang terlibat aktiviti basikal lajak agar lebih baik, kata Syed Saddiq. - Gambar fail
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam memastikan masa hadapan kanak-kanak dan remaja yang terlibat aktiviti basikal lajak agar lebih baik.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, selain bengkel latihan serta pelatih profesional, beliau turut menyarankan individu yang gemar mengubahsuai basikal lajak dihantar ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN).
“Mereka ada dua kategori, di mana yang pertama adalah mereka yang suka mengubahsuai. Mereka ini kita boleh masukkan dalam IKBN dan IKTBN untuk mempelajari kimpalan dan sebagainya.
“Golongan kedua adalah mereka yang suka menguji kelajuan (need for speed). Tapi tak boleh lah jika tak ada brek.
“Apabila buat pertandingan basikal terbaik, kita pastikan ciri keselamatan tidak diabaikan. Jika yang suka berbasikal secara laju, kita sediakan ‘stationary equipment’ yang mana dia boleh uji kelajuan tanpa perlu guna jalan yang berbahaya pada waktu malam,” katanya ketika ditemui media di Parlimen hari ini.
Menurut beliau, adalah penting untuk memastikan minat kumpulan pemain basikal lajak disalurkan ke arah sesuatu yang lebih bermanfaat.
“Ini sesuatu yang KBS sudah lakukan sebelum insiden kemalangan membabitkan basikal lajak. Kita sudah laksanakan banyak bengkel latihan kepada kumpulan basikal lajak.
“Tidak cukup sekadar sediakan litar kerana aspek keselamatan tak diutamakan. Basikal yang mereka ubah suai tiada brek, tidak gunakan peralatan keselamatan serta dipandu di kawasan berbukit.
“Jadi kita sediakan peralatan basikal pegun untuk mereka gunakan, yang mana ia dapat membina otot dan kelajuan, sekali gus melatih mereka menjadi pelumba basikal Malaysia satu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan beberapa pihak supaya KBS membina litar khas supaya kanak-kanak dan remaja dapat menggunakannya untuk aktiviti basikal lajak secara selamat
Syed Saddiq berkata, beliau juga sedang mendapatkan pandangan beberapa pihak berhubung inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi menyalurkan minat kumpulan basikal lajak, tanpa mengenepikan aspek keselamatan.
#basikal lajak #Institut Kemahiran Belia Negara #Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara #Menteri Belia dan Sukan #Syed Saddiq
;