Latihan berstruktur sektor ekonomi digital berjaya stabilkan pendapatan, perniagaan asnaf

Kenyataan Media
Ogos 15, 2024 14:55 MYT
Asnaf bersama ahli keluarga mereka diraikan di Majlis Graduasi MyREF Hijrahpreneur Skills Program (MyREF HSP) hari ini.
Lebih daripada 30 asnaf bersama ahli keluarga mereka telah diraikan di Majlis Graduasi MyREF Hijrahpreneur Skills Program (MyREF HSP) di Auditorium High Impact Research, Universiti Malaya.
Majlis disempurnakan oleh Senator Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyREF, Mohd Khairuddin Rais, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dan Pengerusi Kluster Penyelidikan Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Hazlie Mokhlis.
Zulkifli dalam ucapannya menyatakan bahawa sasaran perlu diletakkan dalam setiap proses dan usaha untuk membangunkan asnaf bagi menjadikan mereka berdikari dan keluar dari rantaian kemiskinan yang ganas, selari dengan konsep untuk menoktahkan kemiskinan.
“Konsep yang diketengahkan oleh MyREF di dalam program ini, dengan mekanisme kawalan dan KPI yang ditetapkan untuk peserta amat tepat dengan visi kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan," kata beliau dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Graduasi Program MyREF HSP di Universiti Malaya hari ini.
Keunikan program MyREF HSP terserlah melalui pendekatan berstruktur dalam pembangunan silibus dan modul, pengajaran dan pembelajaran, konsep mentor – mentee, pemantauan serta penetapan KPI dan mekanisme kawalan yang komprehensif bagi memastikan kesan optimum dapat dicapai di akhir program.
Selain itu, peserta program turut diberikan insentif tunai dan peralatan yang disumbangkan oleh Etiqa Family Takaful Berhad dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Mohd Khairuddin dalam ucapannya turut memaklumkan bahawa Program MyREF HSP yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022 telah menunjukkan kesan positif dalam usaha membangunkan asnaf, dan antara hasil signifikan program ini adalah serahan zakat terkumpul oleh para peserta di akhir program.
Pada tahun ini, dua kohort program MyREF HSP telah menyerahkan zakat terkumpul melebihi RM5,500.00, termasuk penyerahan yang akan dilaksanakan pada Majlis hari ini.
MyREF HSP merupakan inisiatif strategik yang dilaksanakan oleh MyREF, Etiqa Family Takaful Berhad dan Universiti Malaya dengan objektif untuk membangunkan asnaf dalam aspek Pentadbiran Perniagaan dan Ekonomi Digital.
Kandungan program MyREF HSP yang terdiri daripada tiga modul utama memberikan tumpuan khusus kepada keusahawanan digital, pentadbiran perniagaan dan persijilan Halal serta keselamatan makanan, khusus untuk mereka yang terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman.
Majlis pada hari ini menyaksikan penyerahan zakat pendapatan terkumpul sebanyak RM2,350 oleh graduan program MyREF HSP kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan penyerahan sumbangan oleh Etiqa Family Takaful Berhad kepada MyREF berjumlah RM347,110 untuk pelaksanaan program MyREF HSP sesi seterusnya.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah Ahli Jawatankuasa Shariah Etiqa Family Takaful Berhad, jurulatih-jurulatih MyREF dan kakitangan akademik Universiti Malaya yang terlibat dengan program MyREF HSP.
Malaysian Research and Education Foundation (MyREF) adalah sebuah yayasan yang berdaftar di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) dan dikawal selia oleh Bahagian Hal Ehwal Undang Undang, Jabatan Perdana Menteri.
#MyREF HSP #asnaf #program pembangunan usahawan #MAIWP
;