Latihan berpusat bagi MFL, MHL dan STL dibenarkan - Ismail Sabri
Irwan Muhammad Zain
Februari 9, 2021 19:26 MYT
Februari 9, 2021 19:26 MYT
KUALA LUMPUR: Setelah meniliti rayuan yang dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan memutuskan untuk membenarkan pelaksanaan program latihan berpusat bagi pasukan dalam Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin depan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Berdasarkan kebenaran ini, tempat latihan dan pergerakan atlet serta pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan.
"Penginapan atlet dan pemain juga perlu mengikut prosedur operasi standard 'kuarantin di kem' dan 'kuarantin di rumah' yang telah ditetapkan," katanya pada sidang media pelaksanaan perintah PKP, pada Selasa.
Katanya, kerajaan juga sedang membuat penelitian akhir berhubung cadangan pembukaan beberapa aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan taraf kesihatan diri.
Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan akan mengumumkan perkara yang dipohon oleh KBS itu dalam masa terdekat.
#PKP
#ismail sabri yaakob
#MFL
#MHL
#STL
#latihan
#berpusat
#dibenarkan
#Liga Bola Sepak Malaysia
#KBS
#Kementerian Belia dan Sukan
#Liga Hoki Malaysia
#Liga Sepak Takraw
#perintah kawalan pergerakan