Latih amal, makluman kepada penduduk tindakan prabanjir - KP NADMA
Irfan Faruqi
September 23, 2024 22:51 MYT
September 23, 2024 22:51 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan latih amal secara berkala sebagai persiapan menghadapi bencana banjir dan memastikan pemindahan penduduk dilakukan secara sistematik.
Ringkasan AI
- NADMA melaksanakan latihan secara berkala untuk persiapan menghadapi bencana banjir dan memastikan pemindahan penduduk dilakukan secara sistematik. Penduduk setempat sentiasa dimaklumkan mengenai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang perlu dituju jika berlaku bencana. NADMA menggunakan kaedah pemindahan penduduk secara sukarela di PPS sebelum berlakunya bencana banjir untuk melancarkan tindakan menyantuni mangsa banjir.
Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata penduduk setempat juga sentiasa dimaklumkan mengenai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang perlu dituju jika berlaku bencana.
“Sekiranya ada tempat-tempat penduduk tidak boleh keluar dengan sendiri, pasukan penyelamat akan dihantar untuk memastikan mereka dapat dikeluarkan dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dikenal pasti.
“Sebelum itu, kita juga telah lakukan latih amal dan maklumkan kepada penduduk setempat mengenai PPS yang sepatutnya mereka pergi apabila berlaku situasi banjir yang memerlukan mereka berpindah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Latih amal, makluman kepada penduduk tindakan prabanjir – KP NADMA
Tambahnya, pihak NADMA juga menggunakan kaedah pemindahan penduduk secara sukarela di PPS sebelum berlakunya bencana banjir, yang turut membantu melancarkan pelbagai tindakan menyantuni mangsa-mangsa banjir.
Sejak 17 September lalu, Kedah menjadi negeri paling teruk terjejas banjir dengan angka mangsa tertinggi dicatatkan adalah pada petang Ahad iaitu seramai 8,394 orang.
Agenda AWANI: Misi bantuan banjir