Latih amal Ex-Rimau 2017 di KLCC esok dan Isnin - PDRM

Bernama
Julai 8, 2017 21:50 MYT
Latih amal itu diadakan bagi melatih para pegawai dan anggota PDRM menghadapi sebarang krisis dan ancaman keselamatan. - Gambar fail
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengadakan latih amal Ex-Rimau 2017 di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) esok dan Isnin sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Ke-29 yang akan berlangsung bulan depan.
Berikutan itu, ramai pegawai dan anggota polis akan berada di sekitar lokasi latih amal berkenaan bermula dari 8 pagi hingga 2 petang, kata PDRM dalam kenyataan di sini, hari ini.
Latih amal berkenaan akan meliputi pelbagai elemen PDRM iaitu Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Tindakan Khas(UTK), 69 Komando, Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta anggota-anggota tugas am.
"Latih amal itu diadakan bagi melatih para pegawai dan anggota PDRM menghadapi sebarang krisis dan ancaman keselamatan yang mungkin berlaku sepanjang penganjuran temasya sukan antarabangsa itu.
"Ia juga bertujuan menguji pelan tindak balas polis daerah sebagai 'First Responder'," kata kenyataan itu.
Selain itu, latihan berkenaan dapat menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan serta peranan dan tugas Komander-Komander Briget sebagai ketua Pasukan Tindakan Krisis (CRT).
Sempena persiapan menjelang Sukan SEA pada 19 hingga 30 Ogos ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengarahkan PDRM supaya mengadakan latih amal persiapan sebanyak lima siri termasuk di KLCC.
-- BERNAMA
#ex rimau #KLCC #latih amal #PDRM #Sukan SEA
;