Latheefa Koya perlu buktikan beliau layak pegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM - Presiden TI-M
Astro Awani
Jun 4, 2019 18:58 MYT
Jun 4, 2019 18:58 MYT
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya perlu membuktikan beliau layak memegang jawatan tersebut, kata Presiden Transperancy International Malaysia (TI-M), Dr Mohamad Mohan.
Menurut Dr Mohamad, mutakhir ini rakyat sangat berpuas hati dengan prestasi SPRM dan itu merupakan cabaran kepada Latheefa.
Dr Mohamad juga menyifatkan pelantikan Latheefa sebagai satu era baharu kepada SPRM kerana buat pertama kali wanita dipilih mengetuai agensi tersebut.
"Biarpun Cik Latheefa tidak ada pengalaman dari segi penguatkuasaan, tetapi pelantikan beliau merupakan satu era baharu bagi SPRM.
"Bila Cik Latheefa ambil jawatan ini, penanda arasnya tinggi kerana rakyat sangat berpuas hati dengan SPRM mutakhir ini," katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Dr Mohamad berkata Pakatan Harapan perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Menurut Dr Mohamad, pelantikan Latheefa sangat mengejutkan kerana Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tidak mengetahui tentang perkara tersebut.
"Persepsi rakyat pasti akan ragu-ragu dan negatif sebab mereka selau dengar ketika kempen Pakatan Harapan tidak akan membuat lantikan politik.
"Pakatan Harapan perlu buat penjelasan kepada lantikan politik dibuat sekali lagi kerana sebelum ini mereka mendakwa kerajaan sebelum ini banyak membuat lantikan politik.
"Namun pihak kerajaan mempunyai alasan sendiri atas lantikan ini jadi kita perlu dengar kenyataan dari pemimpin kerajaan," katanya lagi.
Pada Selasa, kerajaan memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdul yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontraknya.
Kontrak Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.
#Dr Mohamad Mohan
#Latheefa Koya
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#Transperancy International Malaysia