Latheefa dipilih kerana beliau lurus, kerja dengan serius - Tun M
Firdaus Azil
Jun 10, 2019 19:50 MYT
Jun 10, 2019 19:50 MYT
Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah berdasarkan karektor beliau yang lurus, dan membuat kerja dengan serius, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin bekas Pengarah Eksekutif Lawyers of Liberty itu adalah pilihan tepat memandangkan hanya orang yang benar-benar berkelayakan sahaja dapat menjawat jawatan penting itu.
“Saya memilih orang yang layak. Kita dapati dia (Latheefa) lurus, yang mengambil kerjanya dengan serius. Dan kualiti itu yang tentukan kita pilih dia,” katanya ringkas selepas sekali lagi ditanya mengenai keputusan beliau memilih bekas anggota jawatankuasa pusat PKR itu.
Latheefa sebelum ini diumumkan sebagai pengganti kepada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal, dan beliau telah memulakan tugasnya secara rasmi pada 7 Jun lepas.
Ditanya sama ada pemilihan peguam itu merupakan satu langkah yang disengajakan bagi memberi kelebihan pada kem tertentu dalam PKR, Dr Mahathir berkata itu tidak berasas sama sekali.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, sesetengah pihak boleh membuat apa sahaja tuduhan, tetapi yang penting pemilihan itu adalah berdasarkan kelayakan yang kukuh.
#Ketua Pesuruhjaya
#Ketua Pesuruhjaya SPRM
#Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#Latheefa Beebi Koya
#Latheefa Koya
#Lawyers of Liberty
#Mahathir Mohamad
#Mohd Shukri Abdull
#SPRM