LATAR umum penutupan sementara persimpangan Ijok, Puncak Alam
Bernama
April 26, 2024 09:00 MYT
April 26, 2024 09:00 MYT
SHAH ALAM: Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) mengumumkan penutupan sementara persimpangan Ijok hingga persimpangan Puncak Alam bagi kedua-dua arah selama empat hari bermula Isnin depan.
Kenyataan LATAR semalam memaklumkan penutupan itu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan rasuk jambatan bagi menyiapkan persimpangan Eco Business Park V oleh pihak Eco World Development Group Berhad di Kilometer (km) 0.0 hingga KM 12.3 lebuh raya tersebut.
Penutupan itu dilakukan pada 29 dan 30 April (Isnin dan Selasa) serta 2 dan 3 Mei (Khamis dan Jumaat) dari 12.01 hingga 5 pagi.
Sepanjang penutupan itu, trafik dari arah Kuala Lumpur/Rawang/LATAR akan dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor melalui Persimpangan Puncak Alam untuk ke Ijok/Kuala Selangor/Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) manakala trafik dari arah Puncak Alam menghala ke Ijok/Kuala Selangor/WCE (LATAR) dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor.
"Trafik dari arah Ijok/Kuala Selangor/WCE (LATAR) pula akan dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor untuk ke Kuala Lumpur/Rawang dan papan tanda arah sementara akan ditempatkan di lokasi terbabit bagi memberi panduan kepada pengguna," menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi talian utama LATAR 03-6145 1515 atau wakil pemaju projek Azam Faliq Abdullah di 012-327 7398, wakil kontraktor utama Juang Setia Sdn Bhd Aris Rosly (012-334 0747) dan Pengurus Trafik Road Ark Sdn Bhd Mohamad Sabri Musa menerusi talian 013-219 2448.
-- BERNAMA