Lata Kinjang dilanda kepala air
Abd Razak Mohd Ali
Mei 13, 2024 19:45 MYT
Mei 13, 2024 19:45 MYT
TAPAH: Hujan lebat beberapa jam yang melanda kawasan Kampar dan Tapah menyebabkan berlaku kejadian kepala air di Lata Kinjang awal pagi ini.
Bagaimanapun kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 pagi itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar jam 9 pagi.
Menurutnya, pihak bomba hanya membuat pemantauan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Memang hujan lebat bermula malam tadi dan Sungai Kampar pun berada pada paras bahaya pagi tadi, cuma tidak berlaku banjir yang melibatlkan pemindahan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu tular di media sosial kejadian kepala air di Lata Kinjang yang turut menghanyutkan beberapa batang pokok besar.
Lata Kinjang merupakan air terjun yang terletak kira-kira 18 kilometer dari Tapah dan kira-kira 13 kilometer dari pekan Cenderiang iaitu sebuah pekan lama yang paling hampir dengan kawasan air terjun tersebut.
Selain bermandi-manda, ada juga pengunjung yang datang ke sini mengambil kesempatan untuk berkelah, mengadakan aktiviti riadah dan lasak.