Larva BSF alternatif ganti bahan sumber ternakan

Eton Khir
Mac 25, 2022 04:45 MYT
Dr Zulkifli berkata, larva BSF boleh mengurangkan kadar kebergantungan kepada bahan import sekali gus menstabilkan harga ayam di pasaran. - Foto UPM
SERDANG: Larva 'Black Soldier Fly' (BSF) atau nama saintifiknya Hermetia Illucens boleh menjadi alternatif menggantikan kacang soya dalam dedak ayam di negara ini.
Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (Itafos) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Zulkifli Idrus berkata, pengunaanya bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import malah dapat menstabilkan harga ayam di pasaran.
"Larva itu boleh dijadikan sebagai sumber protein kepada ayam dan selain itu boleh digunakan untuk industri lain seperti pembuangan kerana ia akan memakan sisa-sisa makanan, maka secara langsung alternatif itu dapat menyelesaikan masalah pengurusan sisa di Malaysia.
"Di samping itu, pembiakan BSF ini juga sangat sesuai dijadikan sumber utama makanan ayam atas faktor tidak memerlukan keluasan tanah yang banyak dan kesusuaian iklim di Malaysia. Ini kerana jika kita ingin menanam jagung atau kacang soya ia memerlukan tanah yang banyak," katanya pada sesi sidang media di UPM pada Jumaat.
Menurut Dr Zulkifli, meskipun mampu menjadi alternatif, namun penternakan larva ini masih memerlukan suntikan dana daripada kerajaan bagi memastikan ia berkembang dan mampu memenuhi keperluan semasa.
"Malaysia masih di peringkat permulaan dan sangat baharu. Oleh itu, kuantiti larva yang dihasilkan memang tidak akan mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan industri ayam yang ada Malaysia.
"Malahan, setakat ini hanya dua syarikat dari luar negara yang bertempat di Bernam, Selangor dan Johor melakukan kajian dan pelaburan membabitkan serangga ini di Malaysia," katanya.
Dalam pada itu katanya, langkah kerajaan mengimport ayam dari luar negara mampu menjejaskan industri berkenaan untuk jangka masa panjang termasuk kepada para pekerja.
#lalat askar hitam #BSF #makanan ayam #dedak ayam
;