Larian berpakaian tidak senonoh: Tiga lelaki ditahan bantu siasatan
Sinar Harian
Oktober 6, 2024 11:00 MYT
Oktober 6, 2024 11:00 MYT
JOHOR BAHRU: Tiga lelaki sudah ditahan polis bagi membantu siasatan insiden berkelakuan tidak senonoh serta lucah semasa program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dua lelaki warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 39 hingga 70 tahun ditahan di sebuah hotel di Kota Tinggi pada jam 10 malam, Sabtu.
Menurut beliau, pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai ketika larian terbabit termasuk sari berwarna merah, skirt warna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan batang tombak tiruan berwarna perak turut dirampas.
"Hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek negatif sebarang jenis dadah dan kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Siasatan awal mendapati tindakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga suspek adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan menggugat ketenteraman awam.
"Oang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah ke talian hotline ibu pejabat polis kota tinggi di talian 07-8831222 atau talian bilik gerakan 07-8831221," katanya.
Sebelum itu, tular maklumat di laman khas penduduk Kota Tinggi di Facebook dengan kapsyen 'apa nak jadi dengan Bandar Penawar ni'.
"Ia dikongsi oleh pemilik atau pengendali akaun fb Mohd Latif bin Talib memaparkan beberapa gambar dan sebuah klip video sekumpulan individu berpakaian berwarna merah serta berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam.
"Antara kenyataan yang dimuatnaik bersama-sama dengan hantaran itu adalah apa nak jadi dengan Bandar Penawar ni, risau bala datang nanti. Kawasan yang bermajoriti Melayu Islam tetapi ada event camtu. siapa yang memberi kelulusan event pan asia 2024 ni?.
Pada Sabtu, media melaporkan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam isu tular mengenai pelancong berpakaian songsang dan tidak senonoh dalam satu program larian di Kota Tinggi. - Sinar Harian