Lari tinggalkan kain batik bernilai RM70,400
Sinar Harian
Februari 8, 2022 09:00 MYT
Februari 8, 2022 09:00 MYT
TUMPAT: Seorang penyeludup berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser yang sarat membawa kain batik bernilai RM70,400 selepas kegiatannya itu berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di hadapan sebuah rumah jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Sabtu.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, MPV itu ditahan pada jam 11 pagi selepas anggotanya mengekori sejauh 30 kilometer (km) bermula dari Pengkalan Kubor.
"Semasa melakukan rondaan rutin sepasukan anggota PPM telah melihat sebuah MPV yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota bertugas kemudian telah mengekori MPV dan berjaya menahannya di hadapan sebuah rumah di jalan Pengkalan Chepa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, bagaimanapun pemandu MPV telah bertindak melarikan diri bagi mengelakkan dicekup anggota bertugas.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas MPV itu telah menjumpai 22 bungkusan guni mengandungi kain batik.
Mohd Rudzuan berkata, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan siasatan awal mendapati kain-kain batik itu diseludup masuk secara tidak sah menggunakan pangkalan haram," katanya.
Menurutnya, PPM yakin kain-kain batik yang dibawa masuk itu untuk pasaran tempatan.
*Berita asal di Sinar Harian