Lari dari tahanan, 'Long Tiger' dipenjara 12 bulan
Shuhada Abdul Kadir
Januari 20, 2022 16:48 MYT
Januari 20, 2022 16:48 MYT
TANGKAK: Lelaki berketurunan Rohingya yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’ dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan meloloskan diri dari lokap mahkamah itu, pertengahan Disember lalu.
Tertuduh ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid, 33, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati sengaja melarikan diri daripada jagaan pihak polis yang mana dia telah ditahan secara sah di sisi undang-undang bagi kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu dilakukan ketika tertuduh berada di lokap mahkamah di sini bagi sebutan kes lampau berkenaan kira-kira pukul 11.55 pagi, 15 Disember 2021 lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, semasa berada di lokap mahkamah berkenaan, tertuduh mendakwa ingin ke tandas sebelum gari yang dipakai, dibuka oleh polis yang bertugas.
Bagaimanapun, gari itu tidak dipasang semula selain pintu sel juga tidak berkunci menyebabkan tertuduh ‘mencuri’ peluang melarikan diri keluar dari sel sebelum berjaya dicekup semula 13 hari kemudian di Sungai Petani, Kedah.
Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan, memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Tertuduh yang diwakili peguam Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md Yusoff bagaimanapun merayu hukuman berkenaan diringankan dengan alasan tertuduh menanggung keluarga serta menyesal dengan tindakan berkenaan.
Majistret Zaridah pada penghakimannya kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan dari tarikh ditangkap pada 28 Disember lalu.
Mahkamah turut menetapkan 14 dan 16 Februari ini bagi sebutan semula tiga kes lampau di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, Seksyen 506 kanun sama kerana ugutan bunuh dan Seksyen 342 kerana melakukan kurungan yang salah.
Tertuduh juga masih berdepan perbicaraan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol di Mahkamah Sesyen Muar.