Larangan sementara tangkapan ikan loma elak kepupusan spesies

Bernama
September 29, 2022 18:26 MYT
Larangan menangkap ikan loma itu hanya pada bulan Ogos dan September selama dua minggu, dan tangkapan boleh dilakukan selepas larangan tamat. - Wikipedia
IPOH: Dasar musim tertutup penangkapan ikan loma di Sungai Rui oleh kerajaan negeri merupakan langkah bagi memastikan spesies itu tidak diancam kepupusan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Razman Zakaria.
Beliau berkata larangan menangkap ikan loma itu juga hanyalah pada bulan Ogos dan September selama dua minggu sahaja dan tangkapan boleh dilakukan selepas larangan tamat.
"Spesies loma ni dia sama seperti ikan salmon yang naik ke atas untuk lepaskan telur cuma di negara barat mereka tidak tangkap, macam di sini ikan loma akan naik ke kuala Sungai Rui untuk bertelur namun ditangkap.
"Jadi kalau perkara ini diteruskan maka mungkin akan berlaku kepupusan melampau, kami mahu minimumkan dengan larangan tangkapan pada minggu kedua dan ketiga bulan berkenaan sahaja selepas itu boleh tangkap semula," katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Keselamatan di Air Komuniti Nelayan Negeri Perak dekat sini hari ini.
Dilapor, menurut data Jabatan Perikanan Perak pada tahun ini pengeluaran ikan loma di seluruh negeri sepanjang Januari hinggs Ogos lepas berjumlah 88.53 metrik tan dan Hulu Perak sahaja mencatat 68.69 metrik tan.
Sebelum ini Pengerusi Persatuan Anak-Anak Gerik di Perantauan, Tajuddin M. Ali menyatakan kekesalan larangan menangkap ikan loma pada musim tengkujuh yang sudah menjadi tradisi penduduk di Sungai Rui sejak berpuluh-puluh tahun malah mendakwa ia bukan sekadar tradisi tetapi memberikan sedikit hasil ketika penduduk yang tidak dapat menoreh semasa musim hujan.
Sementara itu, Razman berkata kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan RM1 juta seperti tahun lepas sebagai persediaan menampung bekalan ikan di negeri ini sekiranya berlaku kekurangan bekalan berkenaan pada musim tengkujuh.
Tambahnya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan bekalan makanan rakyat mencukupi pada musim tengkujuh selain aktiviti akuakultur yang dijangka turut menyumbang kepada stok bekalan ikan.
-- BERNAMA
#ikan loma #larangan penangkapan #Sungai Rui
;