Larangan penuaian, penjualan kupang di perairan Port Dickson ditarik serta-merta

Bernama
Ogos 10, 2024 04:15 MYT
Hasil pemantauan dan analisis makmal, bacaan biotoksin menunjukkan penurunan di bawah 400 per bilion (ppb) bagi sampel ke-15. - Gambar fail/Bernama
TAMPIN: Jabatan Perikanan Malaysia menarik balik larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Port Dickson dan Melaka berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata hasil pemantauan dan analisis makmal, bacaan biotoksin menunjukkan penurunan di bawah 400 per bilion (ppb) bagi sampel ke-15.
"Jadi aktiviti perikanan di kawasan terjejas boleh diteruskan seperti biasa. Pemantauan dan pengambilan sampel tetap dilakukan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Mengoca Komuniti Perikanan (myKP) Sungai Jerneh di Estet Ikan Kampung Sungai Jerneh, Gemencheh dekat sini.
Turut hadir Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.
Pada masa sama, Arthur turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan mengikuti perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan makanan terjamin.
Pada 4 April lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF Wan Aznan Abdullah berkata hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.
Sementara itu, Arthur berkata Negeri Sembilan merupakan penyumbang terbesar bagi sub sektor akuakultur iaitu sebanyak 5,587.4 tan metrik (90.78 peratus) pengeluaran ikan dengan nilai RM73.8 juta, tahun lepas.
"Ini melibatkan 431 pengusaha akuakultur berdaftar dan daerah Tampin menyumbang RM2.9 juta kepada pengeluaran ikan air tawar," katanya.
-- BERNAMA
#larangan penjualan Kupang #pantai port dickson #Melaka #ditarik serta-merta #Arthur Joseph Kurup #Jabatan Perikanan Malaysia