Larangan penjualan produk tembakau, misi mustahil? Agenda AWANI 9 malam ini

Israr Khalid
Februari 11, 2022 09:52 MYT
Bersama Dr Helmy Haja Mydin, pakar perubatan respiratori dari Hospital Pantai Kuala Lumpur dalam program Agenda AWANI malam ini.
KUALA LUMPUR: Pada 11 Januari 1964, U.S. Surgeon General mengisytiharkan bahawa sah ada hubung kait langsung antara kanser paru-paru dengan tabiat merokok. Begitupun sejak itu, ia tidak menghentikan manusia daripada terus berhembus.
Ada pemintaan, ada bekalan. Mungkin juga sebaliknya. Tidak dapat dinafikan juga penjualan tembakau mewakili potongan pai besar dalam penjanaan pendapatan negara-negara pengeluar, maka kerana itu rokok terus menjadi ‘bahan rekreasi’.
Kanser paru-paru merupakan antara pembunuh paling berbahaya di negara ini dan 80 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah berpunca daripada merokok. Dianggarkan sekitar 10,000 orang mati akibat merokok setiap tahun di Malaysia.
Menghentikan tabiat merokok memang amat sukar, malah beberapa tahun lalu kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di tempat-tempat awam dalam usaha untuk mengurangkan risiko kesan rokok kepada rakyat. Namun tatkala COVID-19 menyerang, peraturan tersebut dan penguatkuasaannya semacam sudah dilupakan.
Maka terbaharu kerajaan cuba mengambil langkah yang lebih drastik untuk menghentikan penjualan produk tembakau kepada rakyat yang lahir selepas tahun 2005.
Ia tidak mustahil. Ada negara yang telah bertahun melarang penjualan tembakau, iaitu Bhutan. Mungkin negara mereka kecil, tidak ‘semaju’ negara-negara besar, tetapi mereka berjaya melaksanakannya.
Adakah kita akan terbelenggu dengan tuntutan penjanaan ekonomi yang menghalang daripada objektif membina masyarakat yang lebih sihat dapat tercapai? Itu antara persoalan yang paling utama di kala ini waktu di mana wang adalah segalanya.
Jika kerajaan benar-benar tekad dan ikhlas untuk melaksanakannya, apakah cabaran-cabaran yang bakal didepani serta bagaimana rakyat secara kolektif dapat membantu dalam menjayakan usaha ini?
Semuanya akan kita bincangkan malam ini bersama Dr Helmy Haja Mydin, pakar perubatan respiratori dari Hospital Pantai Kuala Lumpur dalam program Agenda AWANI.
9 malam hanya di saluran 501 dan astroawani.com.
#Agenda Awani #rokok #larangan penjualan tembakau #Dr Helmy Haja Mydin