Larangan penggunaan dron pada program Kembara Kenali Borneo di Sarawak

Bernama
September 6, 2023 20:20 MYT
Penggunaan dron tanpa kelulusan di kawasan tumpuan ramai di Sarawak sempena program Kembara Kenali Borneo yang bermula esok hingga 13 Sept ini adalah dilarang, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Penggunaan dron tanpa kelulusan di kawasan tumpuan ramai di Sarawak sempena program Kembara Kenali Borneo yang bermula esok hingga 13 Sept ini adalah dilarang, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)
Dalam kenyataan hari ini, CAAM memaklumkan larangan itu untuk memastikan kelancaran aktiviti demo udara dan terbang lintas pesawat pasukan keselamatan.
"(Larangan) bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini terutamanya membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang ramai khususnya pengunjung," katanya.
Sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADs).
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memulakan Kembara Kenali Borneo ke Sabah dan Sarawak pada 3 Sept hingga 13 Sept ini.
Kembara berkenaan bermula dari Tawau, Sabah dan akan berakhir di Telok Melano, Sematan, Sarawak melibatkan jarak perjalanan lebih 2,100 kilometer dengan melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei
-- BERNAMA
#larangan penggunaan dron #Kembara Kenali Borneo #Sarawak #CAAM
;