Larangan penggunaan beg plastik akan dikuat kuasa di seluruh negara
Astro Awani
September 24, 2018 18:36 MYT
September 24, 2018 18:36 MYT
Kerajaan Negeri Selangor menyarankan Kementerian Perumahan dan Alam Sekitar (KPKT) menyekat pemberian permit import (AP) sisa plastik susulan isu kewujudan kilang haram memproses sisa plastik di Jenjarom, Kuala Langat.
Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata setakat ini kerajaan negeri telah mengambil tindakan dengan menyita sebanyak 37 kilang haram daripada 44 yang terdapat di Kuala Langat pada Julai lalu.
Bagaimanapun, kebimbangan exco itu kini membabitkan pemilik kilang plastik yang beroperasi secara sah kerana mempunyai permit import daripada KPKT.
“Meskipun pada bulan Julai lalu, KPKT membekukan permit ini, namun kita harap Menteri Zuraida Kamaruddin akan membuat keputusan untuk meneruskan pembekuan permit import yang akan menyelesaikan masalah tersebut,” katanya kepada Astro Awani, ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya lagi isu kewujudan kilang tersebut bukan perkara baru dan kerajaan negeri komited menyelesaikan masalah tersebut
“Bukan benda baru ini lama berlaku. Kita dapat banyak aduan kilang plastik beroperasi secara haram . Dan kita adakan OPS bersepadu dengan polis, Jabatan Alam Sekitar dan Syabas.
“Kita telah menyita kilang tersebut dan bagi arahan kepada pemilik yang kita akan ambil tanah itu semula jika tidak tidak pelaku yang tampil.”
Wakil rakyat itu berkata isu lambakan kilang haram memproses plastik yang tidak boleh dikitar semula dari negara maju seperti United Kingdom dan New Zealand berlaku apabila China menghentikan operasi mereka pada tahun ini.
“Sisa plastik ini dibawa dari Port Klang dan bukan di Kuala Langat malah ada di tempat lain juga.”
Kewujudan kilang haram tersebut mencetuskan kemarahan penduduk sekitar tersebut yang terpaksa menanggung bau busuk terutama waktu malam kerana aktiviti pembakaran sisa plastik.
#China
#Hee Loy Sian
#Jabatan Alam Sekitar
#Kementerian Perumahan dan Alam Sekitar
#KPKT
#Kuala Langat
#New Zealand
#operasi
#sisa plastik
#SYABAS
#United Kingdom