Larangan penggunaan aset kerajaan: SPR sedia bincang dengan PH

Astro Awani
Mei 16, 2019 04:00 MYT
Azhar berkata, SPR sedia berbincang dengan PH dan mana-mana pihak lain untuk mendapatkan apa-apa pandangan dan maklumbalas bagi menambahbaik proses-proses perjalanan pilihan raya. - Gambar fail
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia berbincang dengan kerajaan Pakatan Harapan atau mana-mana pihak bagi meneliti larangan penggunaan aset-aset kerajaan dan anggota pentadbiran untuk berkempen pada waktu pejabat ketika pilihan raya.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, ia sebahagian dari pelbagai tindakan yang diambil pihaknya untuk menambahbaik proses-proses pilihan raya dan melakukan reformasi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Ia termasuk sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi sosial, agensi-agensi kerajaan dan juga organisasi-organisasi antarabangsa.
"SPR bersedia berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) dan mana-mana pihak lain untuk mendapatkan apa-apa pandangan dan maklumbalas untuk menambahbaik proses-proses perjalanan pilihan raya.
"Tindakan ini adalah selaras dengan proses kerja libat urus dan keterbukaan SPR untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak terutamanya pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Azhar, menjadi matlamat SPR agar semua penambahbaikan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kelak dapat menjamin pilihan raya yang telus, bersih dan adil.
"Fokus utama SPR adalah untuk membentuk satu proses pilihan raya yang adil kepada semua pihak dan ia berjalan dengan telus dan berintegriti," katanya.
Di samping iti, katanya, penambahbaikan terhadap proses-proses penjalanan pilihan raya yang tidak melibatkan pindaan undang-undang telah pun dilaksanakan, manakala yang melibatkan pindaan undang-undang pula, ia perlu kepada penelitian dan kajian lanjut oleh SPR.
Azhar membuat kenyataan mengulas perkara-perkara yang telah dibangkitkan Perdana Menteri baru-baru ini, khususnya yang melibatkan penggunaan aset-aset kerajaan dan larangan anggota pentadbiran untuk berkempen semasa waktu pejabat.
Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peraturan SPR yang melarang anggota kabinet menjalankan aktiviti kempen sewaktu bekerja pada pilihan raya yang disifatkan memberi kesan kepada pentadbiran PH.
#aset #aset kerajaan #Azhar Azizan Harun #input #kempen #larangan #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #penambahbaikan #perjalanan pilihan raya #pilihan raya #proses pilihan raya #PRU14 #reformasi #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya #undang-undang
;