Larangan pendakian di HSK: Penggemar aktiviti mendaki Selangor terpaksa beralih destinasi
Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 5, 2021 16:25 MYT
Disember 5, 2021 16:25 MYT
REMBAU: Larangan sementara aktiviti pendakian di Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Selangor, memaksa penggemar sukan terbabit dari negeri itu beralih ke destinasi lain yang berdekatan.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, beberapa lokasi di negeri berdekatan seperti Negeri Sembilan dan Johor kini menjadi lokasi terbaharu mereka.
Gunung Datuk di daerah Rembau, Negeri Sembilan kini menjadi lokasi paling popular bagi peminat sukan mendaki dari Selangor dan juga Kuala Lumpur.
Pemerhatian Astro AWANI pada Sabtu mendapati laluan ke puncak gunung berkenaan yang berketinggian 884 meter itu sesak dengan kehadiran penggemar sukan berkenaan.
Menurut seorang ketua kumpulan pendaki Mohd Sidek Sarijam, 62, yang biasa menawan gunung tersebut, lokasi berkenaan biasanya akan sesak menjelang hujung minggu dan jumlah pendaki dari Selangor dan Kuala Lumpur kini bertambah.
"Puncak Gunung Datuk memang menarik minat ramai pendaki terutamanya kerana ia memiliki pemandangan yang menarik. Selalunya macam-macam kumpulan pendaki akan datang ke gunung ini menjelang hujung minggu.
"Akhir-akhir ini juga ramai pendaki dari Selangor dan KL yang datang, mungkin sebab kawasan Selangor telah pun ditutup,” jelas Sidek yang membawa 31 orang pendaki dari kumpulan Standby Force Royal Engineer (SFRE) dan GMA.
Tinjauan juga mendapati puncak gunung berkenaan mulai penuh menjelang jam 6 pagi kerana masing-masing mahu melihat suasana dan pemandangan matahari naik di awal pagi.
Malah, ada sebahagian dari mereka terpaksa menunaikan solat subuh di sekitar laluan mendaki yang penuh mencabar itu.
Dianggarkan lebih 300 pendaki berjaya ke puncak gunung tersebut pada hari berkenaan.
"Biasanya pendakian akan mengambil masa dua hingga tiga jam kalau cuaca baik. Para pendaki biasanya kejarkan waktu menjelang pagi kerana ingin melihat suasana matahari terbit yang indah di puncak gunung tersebut,” tambahnya.
#aktiviti pendakian
#sukan mendaki
#Hutan Simpanan Kekal
#HSK
#Selangor
#Kuala Lumpur
#Negeri Sembilan
#Johor
#Mohd Sidek Sarijam