Penanaman padi Black Madras atau jenis lain yang dibawa masuk secara haram ke negara ini berisiko menjejaskan industri padi tempatan kerana dikhuatiri membawa penyakit berjangkit.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, penanaman padi berkenaan khususnya jenis Black Madras adalah dilarang sama sekali kerana ia tidak uji dan penyakit yang dibawanya boleh menjangkiti padi tempatan.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang kes baharu melibatkan penanaman padi terlarang tersebut di negara ini selain di Tambun Tulang, Arau, Perlis yang dibongkar baru-baru ini.

“Kita akan tidak membenarkan perkara ini beraku kini kerana ia akan menimbulkan masalah. Benih itu tidak teruji, bukan benih sah, takut kadang-kadang bawa penyaki.

“(Jika) benih itu bawa penyakit, ia akan menjejaskan sawah padi yang lain, jadi bahaya,” ujar Tajuddin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program turun padang bertemu pengundi di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Chenderong Balai di Pasir Salak pada Ahad.

Jabatan Pertanian Perlis baru-baru ini telah membongkar kegiatan penanaman padi Black Madras, sejenis padi asing berwarna hitam dikatakan berasal dari Korea, yang ditanam secara haram di Tambun Tulang.