Larangan masuk warga China ke Sarawak: Ini 5 perkara yang perlu anda tahu
Nazim Chee
Februari 1, 2020 19:04 MYT
Februari 1, 2020 19:04 MYT
Kerajaan Negeri Sarawak pada Sabtu memutuskan untuk mengenakan sekatan kemasukan rakyat China ke negeri itu.
Larangan yang berkuatkuasa serta merta itu bagi membendung penularan Novel Koronavirus.
Keputusan berkenaan diumumkan sendiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada media di Bintulu.
Ia disusuli satu kenyataan akhbar daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang dikeluarkan pada jam 2 petang Sabtu.
Kenyataan media itu memperincikan mengenai pengecualian bagi sekatan berkenaan:
1. Sekatan dikenakan terhadap semua warganegara China dan warganegara asing yang berada di China dalam tempoh 14 hari lepas berkuatkuasa serta merta sehingga ke satu tarikh yang belum dimaklumkan.
2. Sekatan dikecualikan bagi pemegang Pas Pekerjaan, Pas Pelajar dan Pas Sosial Jangka Panjang.
3. Bagaimanapun mereka WAJIB menjalani kuarantin di kediaman sendiri selama 14 hari.
4. Rakyat Sarawak yang baru pulang dari China dalam tempoh 14 hari lepas juga perlu menjalani proses kuarantin di rumah selama 14 hari.
5. Warga China yang telahpun berada di Sarawak dinasihatkan untuk memaklumkan mengenai lokasi tempat tinggal di pejabat Konsulat China.