Larangan kenderaan berat lalu Jalan Chain Feri bermula 17 September
Sinar Harian
September 11, 2018 12:03 MYT
September 11, 2018 12:03 MYT
Kenderaan berat melebihi lima tan tidak dibenarkan lagi melalui laluan Jalan Chain Feri ketika waktu puncak bermula 17 September depan.
Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, peraturan itu dikuatkuasakan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di sepanjang laluan berkenaan akibat jumlah kenderaan yang banyak melalui jalan berkenaan.
Menurutnya, hasil tinjauan dilakukan mendapati kira-kira 400 kenderaan berat melalui laluan berkenaan untuk ke Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) ataupun terminal kargo di Bagan Dalam.
"Masalah kesesakan di Jalan Chain Feri dan Jalan Baharu Perai telah berlaku sejak sekian lama dan ia perlu diatasi selaras dengan manifesto kerajaan negeri yang mahu menyelesaikan masalah kesesakan trafik di kawasan Perai seperti yang dijanjikan sebelum PRU14 lagi.
"Bagaimanapun pemandu kenderaan berat boleh menggunakan laluan alternatif seperti Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (Borr) dan beberapa laluan lain untuk ke destinasi mereka,"katanya pada sidang media di sini semalam.
Turut hadir, Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, David Marshel.
Ramasamy berkata, cadangan mengenai larangan ini telah dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa lalu lintas dan infrastruktur Seberang Perai pada 14 Februari 2014 lagi.
Bagaimanapun ia baharu diwartakan setelah sekian lama menentikan kelulusan daripada Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang diterima pada Julai 2018.
"Cadangan ini diperuntukan dibawah Seksyen 70 (1) Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) dan jika dikenakan saman mereka boleh dikompaun sehingga RM300.
"Ini adalah permulaan dan ada beberapa lagi cadangan akan menyusul selepas ini bagi mengatasi masalah kesesakan di tempat lain yang akan diumumkan tidak lama lagi.
"Selain mengatasi masalah kesesakan trafik, kita juga sedang mencari jalan penyelesaian mengenai isu banjir yang berlaku di sekitar kawasan Perai," katanya.
#Jalan Chain Feri
#kenderaan berat
#kesesakan
#lalu lintas
#Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth
#P Ramasamy
#Peraturan
#puncak
#timbalan ketua menteri II