Larangan kekal untuk perdagangan hidupan liar, elak berulang penularan wabak - SAM

Bernama
Februari 21, 2020 20:23 MYT
Kebanyakan pemerdagangan hidupan liar memang sudah diharamkan, namun langkah penguatkuasaan ketat dan pendakwaan masih menjadi satu cabaran. - Gambar fail
Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada Jumaat menekankan betapa pentingnya satu penyelesaian jangka masa panjang ditampilkan dalam menghalang penularan jangkitan seperti COVID-19 daripada berulang, bukan sahaja di negara China, tetapi juga negara-negara lain.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata ia memerlukan larangan kekal bagi perdagangan, penjualan dan penggunaan hidupan liar, di samping kawalan lebih ketat terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan penguatkuasaan dan pendakwaan.
"Kebanyakan pemerdagangan hidupan liar memang sudah diharamkan, namun langkah penguatkuasaan ketat dan pendakwaan masih menjadi satu cabaran di kebanyakan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya SAM khuatir sebaik sahaja wabak COVID-19 berlalu, negara-negara itu akan memperlahankan pengawasan dan terus membenarkan perdagangan dan penjualan hidupan liar, berikutan permintaan tinggi terhadap makanan eksotik dan ramuan untuk perubatan tradisional.
Menurutnya tindakan tegas mesti diambil untuk melarang pasar basah daripada terus memperdagang hidupan liar; menerusi pengawasan, pemeriksaan dan pengukuhan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan bagi memastikan aktiviti itu diharamkan selama-lamanya.
"Larangan kekal bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa manusia tetapi juga menyumbang kepada pemulihan populasi hidupan liar di seluruh dunia," katanya.
Virus COVID-19 dipercayai berpunca daripada sebuah pasar basah yang menjual hidupan liar di bandar Wuhan, wilayah Hubei di China.
Wabak berkenaan dilaporkan telah mengorbankan lebih 2,100 nyawa dengan lebih 75,000 kes disahkan positif, kebanyakannya di tanah besar China.
-- BERNAMA
#COVID-19 #hidupan liar #koronavirus #pemerdagangan hidupan liar #penularan penyakit #penylaran wabak #sebaran penyakit
;