Larangan guna kalimah Allah dalam Herald kekal - Mahkamah Persekutuan
Hafiz Marzukhi
Januari 21, 2015 18:35 MYT
Januari 21, 2015 18:35 MYT
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohanan Gereja Roman Katolik untuk penilaian semula keputusan awal yang dibuat pada Jun 2014.
Keputusan dengan majoriti 4-3 itu menggariskan bahawa pihak gereja tidak dibenarkan membuat rayuan terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar mingguan edisi Bahasa Malaysia, The Herald.
Ketua Panel Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata penilaian semula hanya boleh diguna pakai dalam beberapa keadaan.
"Penilaian semula penghakiman hanya boleh dibuat jika berlaku bias, penipuan atau ketidakadilan prosedur (procedural unfairness) dan "quorum failure" dalam membuat keputusan.
"Mahkamah mendapati tiada satu kriteria dipenuhi untuk keputusan penghakiman dinilai semula," katanya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya petang tadi.
Hakim-hakim lain dalam panel tersebut adalah Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed.
Pihak Gereja Roman Katolik memohon penilaian semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun lepas yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald edisi Bahasa Malaysia.
Sementara itu, peguam plaintiff Datuk Dr Cyrus Das berkata pihaknya menghormati keputusan tersebut.
"Bagi memperjuangkan perkara ini (penggunaan kalimah Allah), saya percaya ia harus dilakukan dengan cara lain," kata Cyrus ketika ditemui.
#Gereja Roman Katolik
#Ketua Panel Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong
#Mahkamah Persekutuan