Larangan eksport ikan, jamin kelangsungan bekalan
Harits Asyraf Hasnan
Januari 8, 2018 14:33 MYT
Januari 8, 2018 14:33 MYT
Kerajaan kini menguatkuasakan larangan eksport beberapa jenis ikan bagi memastikan bekalan hasil laut dalam negara sentiasa mencukupi.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata penguatkuasaan bermula 1 Disember 2017 hingga 28 Februari depan juga bagi memastikan bekalan itu mencukupi semasa sambutan Tahun Baharu Cina.
Antara jenis ikan yang dilarang dibawa keluar dalam bentuk segar adalah ikan kembung, selar, selayang, pelaling dan bawal putih. Hasil laut lain yang mendapat larangan eksport ialah udang putih.
"Spesis ini dikategorikan sebagai spesis ikan pilihan rakyat dan LKIM memandang serius pihak yang mengeksport spesis ikan yang dilarang ini.
"Pihak kami juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Ujarnya, tindakan drastik larangan eksport itu dibuat selepas mengambil kira keluhan pengguna terhadap kenaikan mendadak harga hasil laut.
Malah, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perikanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Selain itu, bagi mengimbangi kekurangan bekalan ikan segar, LKIM dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengambil langkah dengan mengaktifkan dan mengedar stok simpanan ikan segar beku Q’Fish sebagai alternatif kepada pengguna.
Orang ramai digalak mendapatkan Q’Fish yang dijual di bawah harga RM10.00 sekilogram bagi lapan jenis ikan di seluruh negara seperti contoh di Kompleks LKIM Kuala Kedah, Pasar Nelayan PNK Batu Pahat, Pasar Nelayan Besut dan Taman Wahyu, Kuala Lumpur.
"Antara jenis ikan yang terdapat adalah kembung, selayang, cencaru, selar dan pelaling. LKIM juga telah mengadakan jualan ikan segar dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran pada setiap minggu bermula dari November lalu di lokasi terpilih.
"Sehingga kini, sebanyak 18 jualan diadakan melibatkan 13 lokasi termasuk di Selangor, Perak, Kedah, Johor dan Terengganu. Program ini juga dibuat setiap minggu di lokasi terpilih sekitar Selangor, setiap minggu pertama di MAEPS, Serdang dan sedang dirancang di negeri-negeri lain," katanya.
Pada Januari 3 lalu, harga pasaran ikan kembong di Kedah dilaporkan naik mendadak sehingga ada yang mencecah RM20 sekilogram sejak sebulan yang lalu.
Menurut seorang peniaga yang ditemui Astro AWANI minggu lalu, kenaikan itu berpunca kerana hasil tangkapan berkurangan apabila ramai nelayan yang tidak dapat turun ke laut ekoran faktor cuaca yang tidak menentu.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#harga ikan
#hasil laut
#ikan rakyat
#Irmohizam Ibrahim
#Jabatan Kastam Diraja Malaysia
#Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia
#larang eksport ikan
#LKIM
#Persatuan Nelayan Kebangsaan
#polis
#Q'Fish