Larangan 'dine-in' di zon selatan Sarawak dilanjut hingga 19 Sept ini

Nuzuluddin Abdul Razak
September 3, 2021 20:34 MYT
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes COVID-19 di zon berkenaan yang masih merekodkan jumlah yang tinggi. - Gambar hiasan
KUCHING: Aktiviti ‘dine-In’ di premis makanan di zon Selatan Sarawak masih tidak dibenarkan dan garis panduan itu dilanjutkan sehingga 19 September ini.
Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak seperti yang diumumkan dalam kenyataannya hari ini.
Menurut kemas kini JPBN Sarawak, antara garis panduan lain termasuk tempoh operasi perniagaan bagi premis makanan dan restoran secara bawa pulang dilanjutkan sehingga jam 10 malam berbanding sebelum ini dari jam 5 pagi hingga 8 malam.
Bagaimanapun tempoh operasi perniagaan lain dibenarkan dari jam 5 pagi hingga 8 malam.
Sementara itu, individu atau secara berkumpulan tidak dibenarkan berada di kawasan awam selepas jam 12 tengah malam tanpa alasan yang munasabah.
Zon Selatan membabitkan beberapa daerah iaitu Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes COVID-19 di zon berkenaan yang masih merekodkan jumlah yang tinggi.
Hari ini Sarawak mencatatkan 2,464 kes positif baharu menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 124,428 kes.
Daripada jumlah tersebut, 99.51 peratus atau 2,452 kes diklasifikasikan dari Kategori 1 dan 2, manakala dua kes dari Kategori 3, empat kes Kategori 3 dan enam kes Kategori 5.
#aktiviti dine-in #Sarawak #COVID-19 #zon selatan
;