Laporkan kepada PDRM, KKM jika ada kes pemalsuan ujian COVID-19
Rahimah Abdullah
Jun 13, 2020 21:40 MYT
Jun 13, 2020 21:40 MYT
Orang ramai digesa membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika mengetahui mengenai sindiket penipuan pemalsuan keputusan ujian COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, tindakan ke atas kesalahan itu akan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Kita membenarkan saringan di makmal swasta dan juga di makmal KKM. Namun kalau ada unsur-unsur penipuan, kita galakkan mereka yang dapati ada unsur penipuan agar mengadu kepada KKM dan kita akan jalankan tindakan dan PDRM akan bertindak . Ini adalah kesalahan.
"Jadi tindakan mengikut Akta 342 akan dijalankan. Kita harap orang ramai kalau ragu-ragu dan sangsi, laporkan kepada KKM atau PDRM. Siasatan akan dijalankan dan tindakan akan dilakukan," katanya dalam sidang media harian di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, kata beliau, kesemua ujian COVID-19 tidak akan didedahkan oleh KKM.
"Sebagai contoh, 646,055 kes yang telah diuji, jadi kita tak umumkan kepada orang ramai. Namun kita ada keputusan tersebut sama ada dibuat di makmal swasta atau kerajaan.
"Kita akan jalankan siasatan. Kalau mereka mengadu, kita akan jalankan siasatan dan kita akan kerjasama dengan PDRM untuk mengambil tindakan sewajarnya," tambahnya.
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Kementerian Kesihatan
#kerajaan
#kesihatan
#KKM
#koronavirus
#Malaysia
#Media
#Noor Hisham Abdullah
#PDRM
#polis
#Polis Diraja Malaysia
#siasatan
#sindiket