'Laporan u-turn, mesyuarat 4 jam tidak benar' - Annuar sokong gencatan politik Zahid
Ridauddin Daud
Oktober 22, 2020 08:50 MYT
Oktober 22, 2020 08:50 MYT
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak 'u-turn" susulan pengumumannya melakukan gencatan politik.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu dalam hantaran terbaharu di akaun Facebook berkata tidak wujud mesyuarat selama empat jam membabitkan pemimpin UMNO yang didakwa menjadi punca tindakan Ahmad Zahid berbuat demikian.
"Laporan tersebut jelas tidak benar malah tidak ujud pun mesyuarat selama itu," tulisnya di Facebook.
Annuar turut menegaskan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu melakukan gencatan politik adalah tindakan tepat.
“Sebenarnya kita sudah berada dalam darurat politik, darurat kesihatan, darurat ekonomi dan lain-lain. Apa ikhtiar kita untuk menyelamat ini semua?
“Justeru tindakan Presiden UMNO adalah tepat. Rakyat dan negara didahulukan, bukannya politik.
“Malah kerajaan juga harus berani mencari ikhtiar secara bukan konvensional tetapi sebaliknya berfikir secara norma baru dan di luar kotak,” ujarnya.
Menukar Perdana Menteri tatkala negara masih dibelenggu COVID-19 tidak langsung membantu menghapuskan virus itu, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.
Menurutnya, mengadakan pilihan raya juga bukanlah tindakan yang mampu menyelamatkan rakyat, malah ia hanya memporak-perandakan keadaan.
“Kerajaan perlukan kestabilan. Kerajaan juga perlukan masa.
"Bajet perlu ada untuk membiayai pelbagai tindakan termasuk operasi melindungi nyawa rakyat.
"Ia tidak boleh tidak.
“Sementara itu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) perlu buat persiapan menggubal prosedur operasi standard (SOP) baharu yang komprehensif sebelum boleh diadakan pilihan raya umum.
“Malah Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Parlimen Batu Sapi yang wajib diadakan patut tidak diadakan sehingga semuanya terkawal.
"Semua mudarat yang jelas ini wajib dielakkan,” katanya menerusi Facebook beliau pada Khamis.
Astro AWANI pada Rabu melaporkan bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan, UMNO mengumumkan gencatan politik perlu dilakukan.
Presidennya, Ahmad Zahid berkata parti itu juga dalam masa sama mengambil pendirian untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara mendepani COVID-19 serta kegawatan ekonomi.
Menurut beliau, UMNO turut mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet memberikan sepenuh tumpuan pada usaha untuk membantu dan meringankan beban yang ditanggung rakyat akibat kesan ekonomi dan pandemik COVID-19.
#Zahid Hamidi
#Annuar Musa
#UMNO
#gencatan
#gencatan politik
#BN
#PM
#SOP
#SPR
#Batu Sapi
#Parlimen
#pilihan raya
#PRK
#PRU
#pilihan raya umum
#pilihan raya kecil
#COVID-19
#pandemik
#Tan Sri Annuar Musa
#presiden
#Presiden UMNO