Laporan TPM undur hanya "rekaan politik" pihak tertentu - PM

Astro Awani
Jun 20, 2014 16:17 MYT
Menurut Najib, hubungan dan persefahamannya dengan Muhyiddin adalah amat baik. -- gambar fail
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan laporan media sosial bahawa timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berundur dari Kabinet hanyalah “rekaan politik” pihak tertentu.
Beliau berkata dalam satu kenyataan, hubungan dan persefahamannya dengan Muhyiddin adalah amat baik.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau sentiasa mendokong dan telah menjayakan segala dasar dan agenda pembangunan nasional terutama yang berkait dengan rancangan transformasi negara yang dibawa oleh saya,” tambahnya.
Najib turut menyifatkan bahawa Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pula sentiasa bersamanya dalam segala usaha memperkukuhkan dan memantapkan perjuangan parti.
“Ini merupakan satu usaha berterusan dan masih banyak yang perlu dilakukan oleh saya dengan bantuan beliau,” katanya.
Perdana Menteri yakin bahawa dengan adanya hubungan dan persefaham yang amat baik di antara mereka, segala cabaran untuk membangunkan negara seterusnya meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap pimpinan kerajaan BN.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis menegaskan beliau akan terus berkhidmat sebagai timbalan kepada Perdana Menteri selagi khidmatnya diperlukan.
Ia ekoran laporan beberapa laman blog dan media sosial beberapa hari lalu yang menyebut kemungkinan Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan UMNO.
#Muhyiddin Yassin #Najib Tun Razak #Perdana Menteri #Timbalan Perdana Menteri
;