Laporan TNP tidak adil dan berniat jahat - Lee Lam Thye

Arfa Yunus
Ogos 4, 2013 07:17 MYT
“Laporan tersebut adalah tidak adil dan berniat jahat”.
Itu merupakan pendapat yang disuarakan oleh Naib Pengerusi dan Ahli Majlis Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye mengenai laporan berita yang diterbitkan oleh akhbar Singapura The New Paper (TNP).
Menurut Lee, laporan berita itu adalah satu cubaan untuk memburukkan Malaysia dan ia tidak bersesuaian.
“Benar mereka mempunyai hak untuk menulis apa yang mereka mahu, tetapi kita juga ada hak untuk menjawab dan mengatakan bahawa ia tidak adil. Laporan berita ini bertujuan menakutkan pelancong daripada melawat Malaysia dengan memberi gambaran bahawa Malaysia tidak selamat,” beliau menambah.
Ekoran insiden tembakan Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan serta pembunuhan Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi dan G. Santhana Samy di Penang, Lee berkata situasi tersebut memang membimbangkan.
“Kami merasa amat risau ekoran insiden yang berlaku baru-baru ini tetapi saya percaya pihak berkuasa amat komited dalam mencari penyelesaian. Pihak polis dan kerajaan sedang menangani masalah ini dan mereka memerlukan masa untuk menyelesaikannya,” kata Lee.
Pada 31 Julai yang lepas, TNP telah menerbitkan sebuah artikel yang bertajuk 'Selamat datang ke Malaysia di mana...kematian adalah murah dan untuk kekal hidup sangat mahal' yang turut menyatakan bahawa untuk mengupah seorang pembunuh upahan hanya $2,000 (RM5,000) diperlukan.
Susulan itu, TNP telah menarik balik artikel yang diterbitkan itu daripada laman web portal itu serta laman Facebook mereka.
Baru-baru ini, Editor TNP, Dominic Nathan melahirkan rasa kecewa bahawa tajuk utama akhbar itu dianggap sebagai satu penghinaan, menurut laporan akhbar The Straits Times Singapura.
“Kami tiada berniat begitu. Kami hanya mahu menarik perhatian pembaca terhadap ancaman keganasan bersenjata di Malaysia,” kata beliau, sambil menambah apa yang dilaporkan turut “dilaporkan secara meluas menerusi media Malaysia”.
#artikel #berniat jahat #Lee Lam Thye #Selamat datang ke Malaysia #tidak adil #TNP