Laporan terhadap pemilik akaun Facebook hina PM Najib tunai umrah
Bernama
Mac 4, 2016 18:41 MYT
Mac 4, 2016 18:41 MYT
UMNO Bahagian Pekan membuat laporan dan menggesa polis mengambil tindakan terhadap seorang pemilik akaun Facebook kerana menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menunaikan umrah.
Pengerusi Biro Media Sosial UMNO Bahagian Pekan Mohd Zaidin Mohamad membuat laporan terhadap pemilik akaun FB 'Suppiah Ramakrishnan' kerana menyiarkan gambar Najib dan isteri sedang menunaikan umrah dengan memasukkan perkataan atau kapsyen menghina pasangan itu.
"Perkataan yang diterbitkan seolah-olah mempersendakan agama Islam dan juga menghina perdana menteri dan isteri.
"Ia juga boleh menimbulkan fitnah dan menghina kesucian agama Islam serta menghina perdana menteri selaku ketua kerajaan Malaysia," katanya kepada Bernama selepas membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading di sini hari ini.
Mohd Zaidin juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyiasat akaun Facebook berkenaan bagi memastikan pemilik laman sosial itu dikenakan tindakan sewajarnya atas perbuatan tidak bermoral itu.