Laporan Telenisa: Sisters In Islam cadang tubuh Agensi Sokongan Anak

Hasimi Muhamad
Julai 12, 2024 17:35 MYT
Rozana berkata CSA akan mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan pembayaran termasuk memotong daripada gaji, mendapat perintah mahkamah, dan mengenakan penalti kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sisters In Islam (SIS) mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah Agensi Sokongan Anak (CSA) bagi mengatasi masalah nafkah anak, sekali gus menjaga kebajikan kumpulan itu.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Rozana Isa, CSA akan mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan pembayaran termasuk memotong daripada gaji, mendapat perintah mahkamah, dan mengenakan penalti kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit.
Jelas beliau, sejak 2005, pertubuhan itu sentiasa menggesa kerajaan untuk menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem sokongan kanak-kanak yang telah dilaksanakan di beberapa negara.
"Tidak ada undang-undang yang betul (spesifik) yang memberi kepada para bapa (khususnya), jika anda tidak bayar nafkah, maka ia akan ada akibat (tindakan).
"Sebab apa yang kita mahu lihat ialah nafkah (yang diberikan) adalah cukup dan tepat pada masanya. Jadi dengan adanya satu agensi di peringkat Persekutuan, dan apa yang kami syorkan adalah bukan sahaja melibatkan isu keluarga Muslim, tetapi apabila ia melibatkan nafkah anak-anak, ia juga dirasai oleh mereka yang bukan beragama Islam.
"Apa yang kita mahu lihat adalah usaha yang lebih bersepadu oleh kerajaan untuk menjaga hak kanak-kanak di Malaysia," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Statistik dan Dapatan Telenisa 2023, yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh.
Katanya, satu dasar di peringkat Persekutuan perlu diwujudkan, dan tidak hanya bergantung kepada undang-undang di peringkat Negeri menerusi Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.
Sehubungan itu, Rozana menambah pihaknya sedang giat menjalankan sesi libat urus dan advokasi bersama kumpulan NGO serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) bagi meneliti keperluan menubuhkan CSA.
"Perbincangan telah mula dilakukan dengan KPWKM bersama Menterinya, Datuk Seri Nancy Syukri. Ia memerlukan perbincangan berterusan untuk melobi dan advokasi berkaitan perkara ini," ujarnya lagi.
Hari ini, statistik dan dapatan Telenisa mendedahkan sejumlah 251 anak terjejas kehidupan mereka disebabkan pelbagai masalah ibu bapa yang tidak dapat diselesaikan sepanjang tahun 2023.
Perkhidmatan undang-undang percuma yang dikelola SIS itu melaporkan, daripada jumlah tersebut, seramai 233 (93 peratus) direkodkan berumur bawah 18 tahun, manakala 18 lagi atau tujuh peratus berusia lebih 18 tahun.
Dapatan tersebut menjelaskan isu berkait rapat dengan anak yang sering diajukan oleh klien Telenisa adalah nafkah anak sebanyak 47 peratus.
#Dapatan Telenisa #Hak anak-anak #Nafkah anak-anak #Agensi Sokongan Anak