Laporan Telenisa: Keganasan rumah tangga punca tertinggi perceraian

Hasimi Muhamad
Julai 12, 2024 15:45 MYT
Rozana (kanan) ketika Majlis Pelancaran Statistik dan Dapatan Telenisa 2023, yang dirasmikan ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh (kiri). - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Keganasan rumah tangga menjadi punca tertinggi berlakunya perceraian sepanjang tahun 2023, dengan merekodkan sebanyak 20 peratus.

Ringkasan AI
  • Keganasan Rumah Tangga dan Perceraian: Keganasan rumah tangga menjadi punca tertinggi berlakunya perceraian sepanjang tahun 2023, dengan 20% kes perceraian disebabkan oleh keganasan ini.
  • Faktor Penyebab: Kegagalan suami memberikan nafkah dan ketidakseimbangan dalam hubungan antara suami isteri turut menyumbang kepada kehancuran rumah tangga.
  • Komunikasi dan Kecurangan: Kegagalan komunikasi dan perbuatan curang juga memainkan peranan dalam insiden keganasan rumah tangga.

Statistik tersebut didedahkan dalam dapatan kelapan yang dikeluarkan Telenisa, iaitu sebuah perkhidmatan undang-undang percuma dikelola oleh Sisters in Islam (SIS).
Laporan tersebut menyatakan mangsa keganasan rumah tangga biasanya berdepan tekanan fizikal, seksual, psikologi, sosial serta kewangan.
Menurut Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa, isu keganasan rumah tangga telah diperjuangkan
oleh para pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak lebih 30 tahun.
Katanya, antara faktor berlakunya insiden berkenaan kerana wujud ketidakseimbangan dalam hubungan antara suami isteri.
“Antara sebab juga terjadinya keganasan rumah tangga kerana tiada rasa hormat terhadap isteri. Isteri itu dianggap sebagai satu objek yang boleh diperlakukan (apa sahaja) oleh suami.
“Bila tiada rasa hormat dan keseimbangan dalam hubungan tersebut, maka berlaku keganasan rumah tangga,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Jumaat.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Statistik dan Dapatan Telenisa 2023, yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh.
Selain itu, kegagalan suami memberikan nafkah menjadi punca kedua tertinggi kehancuran rumah tangga iaitu sebanyak 19 peratus sejak tahun 2021.
Laporan Telenisa turut mendedahkan kegagalan komunikasi menyaksikan penurunan daripada 31 peratus pada tahun lalu kepada 17 peratus pada tahun ini.
“Kecurangan pula dicatatkan sebagai punca keempat tertinggi iaitu sebanyak 12 peratus, menurun sedikit daripada 13 peratus yang dicatatkan pada tahun 2022,” jelas laporan berkenaan lagi.
Dapatan Telenisa juga menyatakan sebanyak 43 peratus daripada klien mereka mendedahkan bahawa suami tidak memberi nafkah yang mencukupi bagi menampung keperluan anak dan isteri.
Manakala, 36 peratus mendapati isteri perlu berdepan suami yang tidak bekerja, selain pelanggaran perintah mahkamah oleh suami atau bekas suami berkenaan nafkah (17 peratus).
Pada tahun 2023, Telenisa menyediakan perkhidmatan kepada 459 klien, dengan 93 peratus adalah perempuan manakala tujuh peratus lagi adalah lelaki.
Daripada jumlah 459 klien Telenisa, sebanyak 26 peratus adalah suri rumah, diikuti staf sokongan sebanyak 24 peratus dan profesional sebanyak 17 peratus.
Klien yang mempunyai pekerjaan lain-lain pula sebanyak 14 peratus, bekerja sendiri dan tidak bekerja (lapan peratus) serta pelajar (tiga peratus).
#Laporan Telenisa #punca perceraian #keganasan rumah tangga #sisters in islam #suami isteri
;