Laporan Telenisa: 47 peratus bapa gagal sedia nafkah anak, bayar serendah RM50

Hasimi Muhamad
Julai 12, 2024 16:45 MYT
Pada 2023, Telenisa menyediakan perkhidmatan kepada 459 klien, dengan 93 peratus adalah perempuan manakala tujuh peratus lagi adalah lelaki. - Foto Laporan Telenisa
KUALA LUMPUR: Statistik dan dapatan Telenisa mendedahkan sejumlah 251 anak terjejas kehidupan mereka disebabkan pelbagai masalah ibu bapa yang tidak dapat diselesaikan sepanjang tahun 2023.

Ringkasan AI
  • Nafkah Anak: Kegagalan bapa menyediakan nafkah yang mencukupi adalah punca utama isu berkaitan nafkah anak (47%). Isu lain termasuk bapa yang tiada pekerjaan (27%) dan melanggar perintah mahkamah (9%).
  • Hak Jagaan Anak: Isu kedua tertinggi adalah hak jagaan anak (hadhanah) yang mencatatkan 41%. Isu anak tidak sah taraf juga dikenal pasti (8%).
  • Isu Lain: Isu pemelarian anak (35%), perwalian (3%), dan kelahiran anak yang tidak didaftarkan (1%) turut menjadi perhatian.
  • Telenisa berperanan penting dalam memberikan sokongan undang-undang kepada wanita dan lelaki beragama Islam dalam hal-hal berkaitan Undang-Undang Keluarga Islam.

Perkhidmatan undang-undang percuma yang dikelola oleh Sisters in Islam (SIS) itu melaporkan, daripada jumlah tersebut, seramai 233 (93 peratus) direkodkan berumur bawah 18 tahun, manakala 18 lagi atau tujuh peratus berusia lebih 18 tahun.
Dapatan tersebut menjelaskan isu berkait rapat dengan anak yang sering diajukan oleh klien Telenisa adalah nafkah iaitu sebanyak 47 peratus.
Laporan itu turut memaklumkan 43 peratus klien melaporkan bahawa pemberian suami tidak mencukupi untuk penyelenggaraan, dengan kadang kala mereka menerima serendah RM50.
"Antara punca timbulnya pelbagai isu berkenaan nafkah anak adalah disebabkan oleh bapa yang gagal menyediakan nafkah yang mencukupi (47 peratus), diikuti oleh bapa yang tiada pekerjaan (27 peratus), dan bapa yang melanggar perintah mahkamah (sembilan peratus).
"Isu-isu lain direkodkan sebanyak 17 peratus dan isu seperti bapa yang langsung tidak memberi nafkah adalah sebanyak (tujuh peratus), perintah tidak dapat diberikan pada bapa lima peratus, manakala isu-isu lain lima peratus," kata laporan tersebut yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, isu kedua tertinggi adalah berkenaan hak jagaan anak (hadhanah) yang mencatatkan sebanyak 41 peratus, diikuti isu anak tidak sah taraf sebanyak lapan peratus.
Manakala, isu-isu lain sebanyak empat peratus, perwalian (tiga peratus); dan kelahiran anak yang tidak didaftarkan sebanyak satu peratus.
Laporan sama juga menyatakan isu berkaitan hak lawatan antara yang kerap dibangkitkan oleh klien Telenisa, dengan mencatatkan 47 peratus.
"Sementara itu, isu pemelarian anak yang direkodkan sebanyak 35 peratus adalah amat membimbangkan. Ini merupakan peningkatan yang tinggi sejak tahun 2022.
"Pada tahun 2023, sebanyak 18 peratus daripada klien kami telah mengangkat satu isu baharu berkaitan hak jagaan anak, iaitu anak-anak tidak mahu berjumpa dengan bapanya walaupun perintah mahkamah telah memberikan akses kepada bapa untuk hak bermalam.
"Ini menyebabkan klien Telenisa berasa gusar kerana risau pihak mantan suami akan memfailkan kes melanggar perintah mahkamah terhadapnya," kata dapatan itu.
Pada tahun 2023, Telenisa menyediakan perkhidmatan kepada 459 klien, dengan 93 peratus adalah perempuan manakala tujuh peratus lagi adalah lelaki.
Daripada jumlah 459 klien Telenisa, sebanyak 26 peratus adalah suri rumah, diikuti staf sokongan sebanyak 24 peratus dan profesional sebanyak 17 peratus.
Klien yang mempunyai pekerjaan lain-lain pula sebanyak 14 peratus, bekerja sendiri dan tidak bekerja (lapan peratus) serta pelajar (tiga peratus).
#Laporan Telenisa #sisters in islam #nafkah anak #masalah ibu bapa #perceraian
;