Laporan siasatan enam bomba lemas diumum sebelum hujung tahun

Bernama
Oktober 21, 2018 04:51 MYT
Pada 3 Okt, enam anggota PPDA lemas ketika mencari dan menyelamat Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong. - Gambar fail
Laporan penuh siasatan kes lemas enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sebuah lombong di Puchong dijangka diumumkan sebelum hujung tahun.
Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata siasatan itu sedang dijalankan oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai ahli akademik dan pakar-pakar menyelamat di air.
"Jawatankuasa ini bebas dan tidak dipengaruhi oleh JBPM malah tidak ada pegawai JBPM yang menganggotainya.
"JBPM bersedia menerima sebarang kemungkinan hasil daripada laporan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Kejohanan Sukan Empat Penjuru (Sukep) ke-10 di Institut Penilaian Negara (Inspen), di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian 3 Okt lepas , enam anggota PPDA lemas ketika mencari dan menyelamat Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17 yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.
BACA: Tambah baik SOP bomba selepas kajian selesai
BACA: Kronologi tragedi enam anggota bomba lemas
Sukep kali ini menyaksikan kontinjen Polis Diraja Malaysia muncul juara mengatasi Angkatan Tentera Malaysia, JBPM serta Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik.
Majlis penutup Sukep disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.
-- BERNAMA
#air #bomba #jawatankuasa #JBPM #lemas #lombong #Mohammad Hamdan Wahid #pakar #Pasukan Penyelamatan di Air #polis #PPDA #Puchong #siasatan #Taman Putra Perdana
;