Laporan Sarawak Report berupa serangan jahat, kata peguam Rosmah
Astro Awani
Julai 10, 2015 23:11 MYT
Julai 10, 2015 23:11 MYT
Dakwaan Sarawak Report terhadap Datin Seri Rosmah Mansor adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan cubaan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai isteri Perdana Menteri, kata peguam yang mewakili Rosmah.
Kenyataan yang dikeluarkan syarikat guaman Messrs Noorhajran Mohd Noor itu turut menyentuh soal pelanggaran jelas fungsi bank dan pendedahan tanpa izin yang bertujuan menyerang anak guamnya.
“Memandangkan profil klien saya sudah didedah di peringkat nasional dan antarabangsa, adalah diharapkan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dapat menjalankan siasatan segera dalam tempoh 72 jam dan memaklumkan hasil siasatan tersebut,” kata kenyataan itu.
Laporan Sarawak Report bertarikh 9 Julai 2015 telah mengaitkan Rosmah dengan transaksi berjumlah RM2 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Selain itu, kenyataan syarikat guaman tersebut mendesak pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan di bawah Akta SKMM 1998 (Akta 588) jika kandungan pendedahan Sarawak Report itu terbukti berniat jahat dan melanggar undang-undang Malaysia.
“Akaun bank yang dirujuk dalam laporan berkenaan adalah akaun peribadi anak guam saya. Ia telah dibuka pada tahun 1984 ketika anak guam saya berkhidmat dengan Island & Peninsular Sdn Bhd (kini dikenali sebagai I&P Group Sdn Bhd),” kata kenyataan itu lagi.
Peguam Rosmah juga menafikan anak guamnya melakukan penyelewengan berkaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Laporan tersebut sememangnya berniat buruk, mengancam dan salah serta bertujuan untuk menyerang anak guam saya,” tambah kenyataan itu.