Laporan produk Ayamas akan dikemukakan Khamis
Bernama
November 6, 2012 15:48 MYT
November 6, 2012 15:48 MYT
Kementerian Kesihatan sudah mengambil contoh dari produk ayam syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas) yang didakwa mengandungi antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejas kesihatan.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan produk itu sedang dijalankan dan laporan akan dikemukakan oleh Bahagian Keselamatan Makanan kementerian pada Khamis ini.
Beliau berkata pemeriksaan itu dibuat bagi memastikan produk makanan dari syarikat itu adalah selamat.
"Di samping itu saya nak maklumkan bahawa sebenarnya kementerian sering memantau keselamatan makanan setiap masa dan pemeriksaan pada produk Ayamas pernah dibuat beberapa tahun yang lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pelancongan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia 2012 di sini hari ini.
Media melaporkan, pada Khamis lepas melaporkan kerajaan Sarawak mengeluarkan larangan import produk ayam syarikat terbabit berkuat kuasa serta merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.