Laporan polis dibuat, notis penolakan masuk pelawat China dibuat mengikut prosedur

Kenyataan Media
Julai 1, 2023 22:37 MYT
Tindakan notis penolakan masuk telah dibatalkan selaras arahan ketua pengarah dan wanita itu dibenarkan masuk sekitar jam 3 petang keesokannya.- AWANI
KUALA LUMPUR: Satu laporan polis telah dibuat bagi menangkis dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bahawa wujud budaya rasuah dalam kalangan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.
Laporan yang dibuat Penolong Penguasa Imigresen, Syahmi Syafie Md Nazmil itu menafikan dakwaan anggota Imigresen meminta wang RM3000 melalui ejen untuk membebaskan wanita dari China yang dikenali sebagai Wang Xu.
“Semasa soal siasat, subjek tidak memenuhi syarat kemasukan pelancong kerana tidak memiliki tiket pulang ke negara asal serta gagal menyatakan dengan jelas penginapan semasa berada di Malaysia.
“Soal siasat serta komunikasi dengan subjek juga agak terbatas kerana subjek hanya boleh berbahasa Cina dan sukar memahami soalan yang diajukan,” kata laporan.
Dalam pada itu, seorang wanita yang berkomunikasi dengan pegawai penguat kuasa melalui telefon bimbit subjek serta memperkenalkan diri sebagai Emma memberitahu wanita itu datang dengan tujuan menjaga anaknya.
Sementara itu, laporan memaklumkan kemasukan pelawat yang telah dikemas kini daftar penolakan masuk ke dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) hanya boleh dibatalkan dengan kelulusan pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Ketua Pengarah Imigresen sahaja.
Dalam pada itu, Syahmi juga mendakwa pegawai bertugas juga tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan atau membela diri meskipun dituduh meminta wang berjumlah RM3000 melalui ejen untuk dilepaskan.
“Datuk Seri Tiong King Sing telah hadir ke pejabat operasi imigresen dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penolakan masuk ke atas subjek berkenaan. Beliau juga memarahi pegawai kanan serta penyelia yang menolak kemasukan subjek dan mengatakan “you are the culprit” serta membuat tuduhan yang tidak berasas dengan menyatakan pegawai meminta wang sebanyak RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan subjek masuk ke Malaysia.
“Beliau juga mengugut akan “membuang pangkat” pegawai berkenaan dan pelbagai kata-kata yang menjatuhkan air muka pegawai di hadapan pegawai lain serta orang awam yang berada dalam pejabat pada ketika itu,” tulis laporan itu.
Susulan kejadian tersebut, tindakan notis penolakan masuk telah dibatalkan selaras arahan ketua pengarah dan wanita itu dibenarkan masuk sekitar jam 3 petang keesokannya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan Jabatan Imigresen tanpa sebarang sebab.
Mengulas lanjut, King Sing berkata beliau hadir di pejabat Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang kelmarin itu selepas menerima terlalu banyak aduan mengenai halangan untuk pelancong masuk ke negara ini.
#KLIA #Imigresen #Tiong King Sing #Rasuah #laporan polis
;