Laporan permohonan maaf Meta kepada PM Anwar dapat perhatian dunia Arab

Bernama
Ogos 6, 2024 12:43 MYT
Malaysia telah menuntut Meta memberi penjelasan selepas hantaran ucapan takziah susulan kematian Haniyeh diturunkan daripada akaun Facebook dan Instagram. - Gambar fail/AP
KUALA LUMPUR: Laporan Meta Platforms memohon maaf susulan penurunan hantaran daripada akaun Facebook dan Instagram Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, mendapat liputan meluas media di negara Arab dan berbahasa Arab.
Laporan itu disiarkan antaranya melalui platform masrawy.com dan aawsat.com yang berpangkalan di Mesir, alroya.com (Oman), sarayanews.com (Jordan), alalam.ir (Iran), alquds.co.uk dan alghad.ty (UK), aljazeera.net, alaraby.com (Qatar) dan alwatannews.com (Bahrain).
Malaysia telah menuntut Meta memberi penjelasan selepas hantaran ucapan takziah susulan kematian Haniyeh diturunkan daripada akaun Facebook dan Instagram.
"Kami memohon maaf atas kesilapan operasi yang mana hantaran daripada Facebook dan Instagram Perdana Menteri diturunkan, hantaran itu sudah dipulihkan dengan label berita yang betul," kata jurucakap Meta kepada Reuters sebagai maklum balas kepada soalan menerusi e-mel.
Pada Isnin, Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah memanggil Meta bagi memberikan penjelasan berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin di platform media sosial Anwar.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Haniyeh di platform Facebook dan Instagram pada 14 Mei dan 30 Julai lepas.
"Pejabat Perdana Menteri melihat tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan.
"Ia juga adalah penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia," menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Turut hadir dalam perjumpaan dengan Meta itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
-- BERNAMA
#Facebook #media sosial #MCMC #Instagram