Laporan penuh pencarian MH370 Julai ini - Anthony Loke
Hilal Azmi
Mei 30, 2018 18:38 MYT
Mei 30, 2018 18:38 MYT
Kerajaan akan mengeluarkan laporan penuh usaha mencari pesawat MH370 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yakin bahawa laporan penuh berkenaan bakal membawa petunjuk baharu daripada pakar tempatan dan luar negara.
“Selepas laporan penuh dikeluarkan, semua pakar-pakar boleh rujuk melalui laporan tersebut. Kalau ada apa-apa data dan maklumat yang memberikan petunjuk bagi membolehkan kajian baharu dibuat.
“Kerajaan terbuka untuk terima sebarang input serta kajian baharu. Malah kalau cadangan baharu atau teori boleh meyakinkan bahawa ada bukti yang dapat mengesan pesawat tu, kita akan tengok semula,” katanya ketika sidang media di pejabatnya pada Rabu.
Beliau turut mengesahkan bahawa carian oleh syarikat Ocean Infinity telah tamat semalam dan jumlah keluasan kawasan carian ialah 112,000 kilometer persegi berbanding sasaran asal iaitu 25,000 kilometer persegi.