Laporan penuh insiden lif PPR Kerinchi terhempas dalam jangka masa terdekat

Sharom Abu Bakar
Ogos 3, 2019 12:40 MYT
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak yang terlibat sedang menjalankan siasatan lanjut. - Gambar fail
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjangkakan laporan penuh insiden lif sebuah pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi, Pantai, di ibu negara yang terhempas dari tingkat lima bangunan pada Jumaat akan diketahui dalam masa terdekat.
Timbalan menterinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak yang terlibat sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Menurutnya penyelenggaraan yang lebih teliti juga perlu dilakukan bagi menggelakkan insiden itu terus berulang.
“Kita harap insiden ini jadi satu pengajaran. Kita tidak boleh mengharap dari segi pemantauan berkala, kita perlu feedback yang lebih kerap lebih terkini untuk mengetahui masalah.
“Sudah tentu kita akan mengambil tindakan terperinci untuk memastikan penyelenggaraan ini dilakukan dengan lebih teliti supaya tidak berulang peristiwa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya komuniti tempatan juga harus bertanggungjawab untuk menjaga lif tersebut.
Pada Jumaat, seramai lapan mangsa mengalami kecederaan selepas lif pangsapuri terbabit terhempas dari tingkat lima bangunan itu.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.36 petang, pada Jumaat sebelum bergegas ke tempat kejadian bagi menghulurkan bantuan.
#bomba #DBKL #Dewan Bandaraya Kuala Lumpur #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #KPKT #Kuala Lumpur #Lif PPR Kampung Kerinchi #lif terhempas #pusat gerakan operasi #Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad #Timbalan Menteri KPKT
;