Laporan penemuan MH370 tidak berasas - Azharuddin

Bernama
Mac 20, 2018 08:20 MYT
AZHARUDDIN: Laporan seperti itu tidak beretika dan perasaan keluarga serta orang tersayang dalam penerbangan MH370 itu perlu dihormati. - Gambar fail
Pasukan Respons MH370 berkata laporan penemuan pesawat MH370 bertajuk ' MH370 found on Google Earth' yang tersebar luas baru-baru ini adalah tidak berasas.
Ketuanya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada pihaknya atau pun laman sesawang MH370 mereka untuk pengesahan, laporan serta bertia berkaitan dengan kehilangan pesawat itu.
Pasukan itu, katanya, sentiasa dibimbing oleh pandangan, pendapat dan pengesahan daripada kumpulan pakar di Australia.
"Oleh itu, Pasukan Respons MH370 ingin menyatakan bahawa laporan tersebut adalah tidak berasas," katan Azharuddin, yang juga pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dalam kenyataan di sini pada Isnin.
"Kami berpendapat laporan seperti itu tidak beretika dan perasaan keluarga serta orang tersayang dalam penerbangan MH370 itu perlu dihormati," katanya.
BACA: MH370: Dakwaan penemuan terbaharu tidak berasas - Tiong Lai
BACA: Bangkai pesawat MH370 ditemui?
Sebuah portal berita antarabangsa melaporkan jurutera mekanikal, Peter McMahon, yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam siasatan insiden nahas penerbangan, mendakwa kawasan pencarian MH370 terletak kira-kira 16 kilometer selatan Round Island, berhampiran sebuah pulau kecil utara Mauritius.
Beliau mendakwa penelitian berdasarkan imej NASA dan Google Earth itu dilakukan sejak pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014 dilaporkan hilang.
Setakat ini, usaha untuk mengesan bangkai pesawat itu belum berhasil.
-- BERNAMA
#Australia #AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN #Google Earth #jurutera #mekanikal #MH370 #pesawat #Peter McMahon #portal berita #Respons MH370
;